Gelombang kedua: Mangsa banjir dinasihat tidak pulang ke rumah - Utusan Malaysia

Gelombang kedua: Mangsa banjir dinasihat tidak pulang ke rumah

MOHD. Zolkafly Harun (kanan) melihat bantuan yang disumbangkan oleh beberapa agensi kepada mangsa banjir di Sungai Siput. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI SIPUT: Mangsa banjir di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah ini dinasihatkan tidak pulang ke kediaman masing-masing berikutan gelombang kedua banjir yang berlaku ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd. Zolkafly Harun berkata, taburan hujan tinggi selain pelepasan air secara terkawal dari Empangan Chenderoh di Kuala Kangsar menyebabkan beberapa kawasan kembali dinaiki air.

Katanya, tindakan penduduk pulang ke rumah dikhuatiri menyebabkan mereka terperangkap.

“Gelombang kedua berlaku malam tadi sehingga pagi ini namun tidak sebesar kejadian Ahad lalu. Jadi, jika mereka kembali ke rumah sudah tentu ia agak bahaya.

“Misalnya malam tadi, ada penduduk yang balik ke rumah untuk mencuci kediaman dan mengambil barang namun tidak boleh keluar (kerana air naik).

“Mereka hanya dapat diselamatkan pada sebelah pagi kerana jaringan komunikasi yang agak ‘slow’ di kawasan Lasah dan Lintang menyukarkan perhubungan dengan pasukan penyelamat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program penyerahan bantuan kepada 400 ketua isi rumah yang terjejas banjir di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Lintang, di sini hari ini.

Bantuan antaranya toto, selimut, bantal dan barangan makanan disumbangkan oleh Jabatan Pertanian Negeri, Lembaga Pertubuhan Peladang serta Lembaga Air Perak (LAP).

Menurut beliau, untuk keselamatan, penduduk perlu kekal berada di PPS sebagaimana yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.

“Diharap semua mangsa banjir berada di PPS kerana di sana semua kemudahan disediakan baik dari segi keselamatan mahupun kesihatan.

“Mangsa banjir dan orang ramai yang terjejas juga dinasihatkan mengawasi keadaan hujan yang tidak menentu tambahan fenomena air pasang besar, kesannya akan dirasai di kampung-kampung,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya