IPOH: Gegaran kuat diikuti bunyi dentuman yang mencetuskan panik penduduk sekitar Ipoh dan kawasan berdekatan pagi tadi tiada kaitan dengan kejadian gempa bumi di Indonesia.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, semakan dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mendapati tidak terkesan sebarang aktiviti seismik di daerah Ipoh meskipun terdapat kejadian gempa bumi berlaku di Halmahera, Indonesia pada pukul 11.24 pagi tadi.
“Selain itu, kita juga membuat semakan dengan Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara dan dimaklumkan bahawa tiada latihan berkaitan letupan dijalankan pada hari ini.
“Malah, semakan dengan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) juga mendapati tiada letupan dijalankan di kuari sebelum pukul 12 tengah hari,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian yang dilaporkan berlaku sekitar pukul 11 pagi itu.
Sehubungan itu katanya, orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan insiden itu bagi mengelakkan kegusaran awam.
“Kita minta sesiapa yang mempunyai maklumat agar tampil menghubungi Pusat Kawalan Kontinjen Perak di talian 05-2451119 atau 05-2451073 bagi membantu siasatan,” katanya.
Terdahulu, gegaran diikuti bunyi dentuman kuat itu mengejutkan penduduk di bandar raya ini di mana rata-rata mereka menyangka ia berpunca daripada aktiviti letupan di tapak kuari.
Tinjauan di media sosial mendapati gegaran turut dirasai di beberapa kawasan termasuk Tasek, Stadium Perak, Manjoi, Meru, Falim, Bercham dan pengguna Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) dekat Terowong Menora.
Pada Oktober 2018, insiden sama pernah berlaku di bandar raya ini dan daerah berdekatan termasuk Taiping namun punca kejadian itu masih kekal misteri sehingga kini.
Ini berikutan pihak Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak menafikan berlakunya sebarang aktiviti kuari dijalankan ketika dentuman kedengaran.
Malah, METMalaysia menafikan gegaran dan dentuman kuat yang berlaku itu berpunca daripada gempa bumi selain Akademi Tentera Udara (ATU) turut menafikan kejadian tersebut berpunca daripada aktiviti latihan pasukan berkenaan. – UTUSAN