Garap pembudayaan al-Quran dalam kehidupan

Garap pembudayaan al-Quran dalam kehidupan melalui program MQSS

OMAR Salleh (tengah) bergambar bersama peserta program Mahrajan al-Quran Sekolah-Sekolah (MQSS) pada Majlis Penutup MQSS Kementerian Pendidikan Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gopeng, Perak, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Program pembudayaan al-Quran dan nilai murni bukanlah bersifat pertandingan, sebaliknya harus digarap dalam kehidupan seharian.

Pengarah Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pendidikan, Omar Salleh berkata, program Mahrajan Al-Quran Sekolah-Sekolah (MQSS) dianjurkan bertujuan melahirkan generasi celik al-Quran dalam kalangan pelajar sekolah.

“MQSS bukan sahaja bersifat satu pertandingan atau persaingan mencari seorang juara, tetapi harus dibekalkan dengan semangat ukhuwah yang tinggi, khususnya untuk meneguhkan sifat dan akhlak sedia ada.

OMAR Salleh merasmikan Majlis Penutup MQSS Kementerian Pendidikan Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gopeng, Perak, baru-baru ini.

“Ia juga menjadi medan untuk warga pendidik dan murid berkongsi ilmu serta memperkasa kemahiran membaca dan menghayati ayat-ayat suci al-Quran. Melalui program ini, Kementerian Pendidikan berharap agar matlamat melahirkan generasi celik al-Quran dapat direalisasikan dan dipercepat,” katanya.

Beliau yang mewakili Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata demikian dalam Majlis Penutup MQSS Kementerian Pendidikan Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gopeng, Perak baru-baru ini.

MQSS merupakan satu daripada program dakwah yang dilaksanakan sebagai aktiviti pembangunan insaniah, modal insan kamil dan pengukuhan kemahiran al-Quran serta syiar Islam dalam arena pendidikan.

Kontinjen Negeri Sembilan mendominasi tiga anugerah utama MQSS 2024 dengan merangkul Johan Keseluruhan Sekolah Rendah, Johan Keseluruhan Sekolah Menengah dan Johan Keseluruhan MQSS Kebangsaan 2024. Kontinjen Negeri Sembilan mengungguli markah keseluruhan dengan mendapat enam johan dan dua naib johan acara

Dalam pada itu, Omar mengucapkan tahniah atas pemilihan tema ‘Adab Dan Nilai Menjana Karamah Insaniah’ kerana bertepatan dengan saranan kementerian yang terus-menerus menegaskan secara konsisten dan istiqamah tentang kepentingan akhlak.

“Diharapkan semoga lebih ramai lagi anak-anak yang lahir sebagai watak manusiawi dan menjadi penyambung generasi al-Quran yang sarat dengan tanggungjawab memberi manfaat kepada orang lain. 

“Juga mempersiap diri untuk menjadi rahmat kepada seluruh alam sebagaimana titipan Rasulullah yang menjadi manusia terbaik akhlaknya dalam kalangan manusia,” katanya.

Beliau berharap agar peserta yang bertanding tidak hanya menjadikan pertandingan sebagai sebab untuk bersungguh-sungguh membuat persiapan, tetapi jadikanlah kesungguhan tersebut sebagai persiapan untuk menuju ke alam akhirat nanti.

“Saya yakin selain ibu bapa, golongan guru merupakan individu terpenting yang banyak membantu murid sehingga berjaya ke peringkat tertinggi.

“Di sebalik kejayaan murid dalam sesebuah pertandingan, tentu ada seseorang yang paling banyak berkorban bagi memastikan murid itu berjaya. Terima kasih kepada semua guru yang telah memberikan sumbangan besar terhadap kemenjadian murid ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya