JERANTUT: Dua pekebun rugi hampir RM70,000 berikutan tanaman durian Musang King dan pelbagai jenis pisang dibaham kawanan gajah dalam tempoh dua malam berturut-turut berdekatan Blok 20, Felda Kota Gelanggi Dua, di sini.
Pekebun terbabit, Muhamad Ridzuan Che Dan, 41, berkata, dia terkejut melihat 50 batang pokok durian Musang King berusia empat tahun sebahagiannya hampir tumbang dan dahan dipatahkan akibat diceroboh kawanan gajah liar di kebun seluas dua hektar, berdekatan ladang sawit Felda tersebut.
“Kira-kira 10 ekor gajah menceroboh kawasan tanaman ini dengan merobohkan pagar dawai pada pukul 8 malam hingga ke awal pagi dengan menumbangkan pokok Musang King, manakala sebahagian lagi mengalami kerosakan apabila dahan dipatahkan.
“Turut musnah 15 batang pokok pisang berangan dan pisang tanduk yang sudah mengeluarkan hasil apabila kawanan gajah liar makan umbut serta pucuk muda, manakala selebihnya dirosakkan,” katanya kepada Utusan Malaysia di Felda Kota Gelanggi Dua semalam.
Menurut Muhamad Ridzuan, pencerobohan gajah liar merupakan kali kedua selepas ancaman sama berlaku pada 18 Ogos lalu dengan memusnahkan hampir 150 batang pokok pisang berangan dan pisang tanduk termasuk pagar dawai dan tong yang menyimpan air.
Katanya, kawanan gajah liar itu masih bersembunyi di hutan berdekatan Sungai Kijeng kira-kira 300 meter dengan kebun sawit Blok 20 di situ dan menunggu waktu malam untuk masuk ke kawasan kebun.
“Jika kejadian berterusan, saya berdepan banyak lagi kerugian,” katanya.
Seorang peneroka, Shafie Ripin, 72, turut mengalami nasib yang sama apabila 50 batang pokok pisang berangan, pisang tanduk, pisang siam dan pisang nangka yang menjadi sumber pendapatan sampingan selain tanaman sawit musnah dalam kejadian pencerobohan kawanan gajah liar.
Katanya, mujurlah 50 batang pokok durian musang king berusia tiga tahun tidak dirosakkan oleh gajah liar berkenaan dan dia cuma menanggung kerugian kira-kira RM20,000 apabila sebahagian tanaman pisang yang akan dipasarkan bulan ini musnah dalam kejadian itu. – UTUSAN