Fokus tingkat kebajikan polis

Fokus tingkat kebajikan polis

SAIFUDDIN Nasution Ismail beramah mesra dengan anggota polis selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Kompleks Setia Perkasa, Putrajaya, semalam. – UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kira-kira 80 peratus daripada 64,000 kuarters anggota polis di seluruh negara berada dalam keadaan layak untuk di­diami manakala 15 peratus lagi tidak boleh dihuni sama sekali.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, justeru, keutamaan diberikan kepada aspek kebajikan, terutama melihat kepada keadaan kuarters kediaman anggota polis di negara ini.

“Sebagai agensi penguat kuasa terbesar di negara kita, salah satu aspek yang telah lama diabaikan ialah kebajikan. Oleh itu, saya meminta lebih perhatian diberikan terhadap perkara ini.

“Terdapat 64,000 unit di seluruh negara. (Kira-kira) 80 peratus daripadanya boleh diduduki, 15 peratus tidak boleh diduduki dan terdapat peratusan selebihnya yang dengan sedikit pembaikan boleh dijadikan layak untuk di­diami,” katanya berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, semalam.

Saifuddin turut menekankan keperluan perancangan yang lebih terarah sambil mengakui bahawa bajet yang diperuntukkan mungkin tidak mencukupi untuk menangani semua isu secara sekali gus.

Oleh itu, katanya, unit-unit yang tidak boleh didiami dan yang memerlukan pembaikan kecil dijadikan keutamaan.

“Unit-unit ini mempunyai lantai tidak boleh digunakan, bekalan air tidak berfungsi serta kabinet dan pendawaian yang ­usang. Fokus kami adalah memberi keutamaan kepada 15 peratus ini.

“Jika pembaikan kecil juga dapat dilakukan kepada unit-unit yang memerlukannya, supaya ia boleh segera diduduki, itu juga menjadi keutamaan kami,” katanya.

Pada 28 Jun lalu, media melaporkan sejumlah 4,612 unit kuarters PDRM sudah dibaik pulih menerusi 465 projek membabitkan dana keseluruhan bernilai RM112.6 juta.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, kerja naik taraf turut meliputi pembaikan saluran paip, pendawaian dan meluaskan unit rumah bagi keselesaan penghuni kuarters. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN