SUKAN berbasikal merupakan antara hobi yang terkenal dalam kalangan kaum lelaki. Mungkin ramai yang tidak tahu, basikal juga mempunyai pelbagai jenis mengikut kesesuaian tujuan dan kegunaan aktiviti tersebut.
Seperti pelakon dan penyanyi, Naim Daniel, dia suka bermain basikal fixie yang merupakan basikal tanpa brek dan gear selain mempunyai tayar yang nipis.
“Saya suka bermain basikal jenis ‘fixie’ pada waktu lapang. Basikal itu tiada gear dan brek.
“Selalunya saya akan bermain basikal itu pada waktu malam dengan kawan-kawan dalam kawasan rumah. Saya baru saja mulakan semula hobi itu sebab dah lama tinggal sejak beralih arah kepada motor.
“Kadang-kadang saya ada bermain ‘skateboard’ juga. Bagi saya kedua-dua permainan ini sekadar memenuhi jiwa sahaja. Jiwa-jiwa lasak. Tidaklah membosankan sangat,” katanya kepada Pancaindera.
Sementara itu, pelakon drama bersiri Projek: High Council itu sempat berkongsi dirinya pernah berdepan dengan kemalangan ketika bermain basikal tersebut yang rata-rata berpunca dari kecuaian diri.
“Saya pernah kemalangan ketika bermain basikal tersebut. Pada saya, cabaran hobi saya ini adalah dari keselamatan sebab basikal tersebut tiada brek. Kalau nak berhenti, kena gunakan kaki. Saya berdoa saja untuk mengelak daripada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
“Tambahan pula, kemalangan itu juga tidak boleh dijangka bila akan berlaku. Adakala berpunca kerana diri sendiri. Kadang-kadang dilanggar orang.
“Saya juga bukan jenis bermain basikal tersebut dengan memakai penghadang keselamatan dan sebagainya. Saya redah sahaja,” jelasnya.
Ditanya mengenai keistimewaan basikal tersebut, Naim menyifatkan aktiviti tersebut dapat mencabar limitasi dirinya selain menguatkan daya ketahanan otot.
“Kelebihan bermain basikal fixie ini pula menguatkan daya tahan otot kaki kerana kita perlu menggunakan kaki untuk brek.
“Pada saya, basikal fixie ini dapat menguji limitasi diri saya dalam mencuba perkara baharu selain fokus pada menyanyi dan berlakon.
“Dalam masa yang sama saya dapat menguji tahap adrenalin memandangkan permainan itu juga merupakan salah satu sukan ekstrem,” katanya.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Purnama itu menyedari basikal fixie mempunyai kelompok peminatnya yang tersendiri.
Naim berkata, dia kagum dengan semangat dan sokongan yang diterima daripada kelompok atau komuniti sukan tersebut setiap kali berkongsi aksinya bermain basikal itu di media sosial.
“Setakat ini, saya tidak ada menyertai mana-mana komuniti sukan berbasikal. Saya sentiasa bergerak seorang diri saja.
“Cuma, adalah saya dapat pelbagai reaksi di Instagram daripada mereka yang menyertai komuniti berbasikal ini yang mengalu-alukan kehadiran saya dalam pasukan tersebut,”
Malang tidak berbau, itulah antara peribahasa tepat untuk sukan berbasikal ini yang disifatkan mampu mengundang bahaya meskipun dapat memberikan manfaat terhadap kesihatan tubuh badan.
Namun, Naim berpendapat aktiviti tersebut seeloknya dilakukan secara berkumpulan serta sentiasa memeriksa basikal yang bakal ditunggang dalam keadaan yang baik supaya dapat mengelak daripda kejadian yang tidak diingini.
“Bagi saya, boleh nak main sukan yang merbahaya. Saya sarankan untuk bergerak dengan rakan-rakan supaya lebih selamat dan boleh pantau antara satu sama lain.
“Pastikan juga basikal sentiasa dalam keadaan yang baik terutamanya, gear bagi mengelak sebarang kecederaan yang tidak diingini,” ujarnya.