Feri ikonik dalam proses ubah suai menjadi muzium kini senget

Feri ikonik dalam proses ubah suai menjadi muzium kini senget

KEADAAN sebuah feri ikonik yang sedang diubah suai untuk dijadikan Muzium Feri Pulau Pinang kini kelihatan senget atau hampir tenggelam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Sebuah feri ikonik yang sedang dalam proses pengubahsuaian untuk dijadikan Muzium Feri Pulau Pinang di Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT), kini kelihatan senget atau hampir tenggelam.

Beberapa keping gambar feri tersebut yang tular di media sosial ketika ini dikatakan meraih perhatian ramai memandangkan feri berkenaan mempunyai sejarah yang panjang di Pulau Pinang.

Difahamkan, feri tersebut mengalami masalah kebocoran di bahagian bawah sehingga menyebabkan ia dimasuki air dan kelihatan agak senget.

Menurut Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Yeoh Soon Hin, beliau telah dimaklumkan mengenai kejadian itu dan pihaknya kini sedang mendapatkan laporan penuh mengenai kejadian tersebut daripada syarikat yang menjalankan projek Muzium Feri terbabit.

“Saya telah dimaklumkan mengenai perkara ini dan difahamkan, syarikat yang menjalankan projek Muzium Feri ini, iaitu Printhero Merchandise (M) Sdn Bhd sedang mengambil langkah-langkah mitigasi yang sewajarnya.

“Pihak SPPP juga telah meminta suatu laporan yang meneliti daripada pihak Printhenro dalam hal ini,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Pada 4 Oktober lalu, feri ikonik tersebut telah ditunda dari Bagan Dalam Slipway ke SPCT sebagai sebahagian daripada proses awal untuk mengubahsuai feri berkenaan menjadi sebuah muzium.

Ketika ini, kerja-kerja baik pulih feri terbabit masih belum siap sepenuhnya dan penundaan ke SPCT itu juga dibuat bertujuan menyelesaikan baki kerja baik pulih feri sebelum ia diletakkan di Tanjung City Marina.

Terdahulu, media melaporkan bahawa feri ikonik Pulau Pinang yang dijadikan muzium feri terapung akan beroperasi hujung tahun ini dan proses ubah suai itu kini telah mencapai 90 peratus.

Dalam pada itu, Kurator Muzium Feri Pulau Pinang, Siti Faridah Hani Damsi berkata, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai kejadian tersebut esok.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN