SHAH ALAM : Selepas tujuh tahun membina rumah tangga bersama, pasangan pelakon, Fattah Amin melafazkan cerai terhadap isterinya, Fazura dengan talak satu, di Mahkamah Rendah Syariah Petaling di sini, hari ini.
Selepas prosiding berlangsung hampir satu jam, mahkamah merekodkan talak oleh Fattah atau nama penuhnya, Abdul Fattah Mohd Amin, 34, itu di hadapan Hakim Syarie, Abdul Malik Soleh pada jam 9.45 pagi.
Selesai menjatuhi talak, Juara Hero Remaja 2011/2012 kelihatan sugul sementara Fazura atau nama penuhnya, Nur Fazura Sharifuddin, 40, menangis kemudian memeluk ahli keluarganya.
Mahkamah kemudiannya membenarkan permohonan cerai yang difailkan Fazura mengikut mengikut Seksyen mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
Hakim Syarie itu mensabitkan berlaku perceraian dan memerintahkan Fazura menjalani tempoh edah selama tiga kali suci serta mendaftarkan perpisahan berkenaan.
Dakwaan keretakan rumah tangga pasangan selebriti Fazura dan Fattah Amin semakin jelas apabila aktres itu menfailkan penceraian pada 13 September lalu.
Fazura dan Fattah yang mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017, dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Nur Fatima Aisya yang kini berusia empat tahun.-UTUSAN