POKOK SENA: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) masih menunggu perkembangan daripada Jabatan Mufti Negeri Kedah berkaitan fatwa terhadap Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) di negeri ini.
Pengarah JHEAIK, Datuk Dr. Abd. Ghani Zainuddin yang juga Setiausaha Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) berkata, penentuan fatwa terhadap amalan dan kepercayaan kumpulan itu berada di bawah bidang kuasa Jabatan Mufti.
“Ini (fatwa) akan dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Kedah. Kita masih menunggu lagi apa kata Jabatan Mufti ini nanti. Saya ingat sudah ada drafnya. Kita masih tunggu ia dikeluarkan oleh pejabat Mufti, kita tunggu apa kata Mufti.
“Isu GISBH ini memang jabatan agama sentiasa pantau. Kita pantau dari semasa ke semasa. Buat masa ini tidak ada lagi gerakan atau amalan berkaitan dengan ajaran itu di sini,” katanya pada Majlis Penyerahan Projek Kabin Guru Kafa di Sekolah Kebangsaan Pokok Sena, di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Abd. Ghani memaklumkan, JHEAIK mengesan lima sekolah disyaki milik GISBH di negeri ini iaitu dua di Padang Terap, dua di Kuala Muda dan satu di Baling yang sudah tidak beroperasi sejak kes itu hangat diperkatakan sebelum ini.
“Hasil siasatan juga mendapati sekolah berkenaan tidak berdaftar dengan jabatan ini dan JHEAIK akan terus memantau sekolah berkenaan dari semasa ke semasa,” katanya.
Tambah beliau, JHEAIK turut melakukan pemantauan ke atas semua premis perniagaan disyaki milik syarikat tersebut termasuk memeriksa restoran-restoran yang beroperasi termasuk sebuah hotel yang ada hubungan dengan GISBH.
“Kita tak boleh halang mereka daripada nak meniaga. Cuma dari segi undang-undang agama adalah dari segi sijil halal yang kita periksa dengan teliti,” katanya. – UTUSAN