SHAH ALAM: Pelakon, Nur Fazura, mendedahkan sepanjang empat tahun, anaknya membesar, Nur Fatima Aisya tidak pernah menerima duit raya daripada bekas suaminya, Fattah Amin.
Menurut pelakon filem Gol dan Gincu itu, sepanjang pengetahuannya, Fattah berpendapatan besar di samping turut mendapat nilai penajaan (endorsement) yang tinggi daripada pelbagai jenama.
“Ramai juga cakap, tak kasihankah kepada Fatima? (Perceraian ini). Sejujurnya, saya kesian. Tapi, di sini saya pun sedih. Fatima, sepanjang empat tahun pun tak pernah rasa duit ayah dia, duit raya ayah dia. Saya sendiri pun sepanjang berkahwin dengan Fattah tak pernah rasa sekali duit raya dari dia.
“Memang seboleh-bolehnya saya tak mahu pisahkan Fatima dengan ayahnya. Tapi, bagaimana nak hidup bersama kalau Fatima saksikan ibu bapa dia tak bahagia. Saya kena besarkan Fatima dengan mental yang baik, bahagia dan sebagainya.
“Anda semua perlu tahu, penajaan dia beratus-ratus ribu dan pendapatan dia rasanya mencecah setengah juta. Tapi, takkanlah tak boleh bagi kepada saya dan Fatima,” katanya.
Fattah berkata demikian ketika ditemui usai sesi kedua prosiding permohonan perceraian Fazura terhadap Fattah di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, hari ini.
Selain itu, Fazura juga mengajukan soalan kepada Fattah mengenai masa depan anaknya sekiranya berumah tangga.
“Saya nak tanya Fattah, kalau suatu hari nanti, pasangan Fatima buat kepada Fatima seperti mana dia buat kepada saya, adakah dia bersetuju untuk teruskan dan okay dengan apa yang dia buat kepada saya?” katanya.
Hari ini, Fazura dan Fattah sah bercerai dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling selepas tujuh tahun berumah tangga. Lafaz talak itu dilakukan Fattah pada jam 9.45 pagi tadi, di hadapan Hakim Syarie Abdul Malik Soleh.
Pasangan selebriti itu berumah tangga pada 27 November 2017 dan dikurniakan cahaya mata, Nur Fatima Aisya, 4.-UTUSAN