F1 in Schools: UiTM, Tiquar Enterprise jalin kerjasama STEM

F1 in Schools: UiTM, Tiquar Enterprise jalin kerjasama STEM

SHAHRIN (enam dari kiri) dan Ketua Penyelaras F1 In Schools Malaysia, Mohd.Nazrin Zulkifli (empat dari kanan) bergambar bersama wakil F1 In Schools selepas selesai menandatangani MOU antara kedua-dua pihak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan pemegang lesen rasmi F1 in Schools Malaysia, Tiquar Enterprise menandatangani memorandum persefahaman (MoU) simbolik kerjasama untuk meningkatkan minat pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM).

MoU tersebut menandakan komitmen kedua-dua pihak untuk mengatasi masalah penurunan minat pelajar dalam aliran STEM di peringkat sekolah menengah melalui platform yang lebih menarik dan interaktif.

Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin berkata, program F1 in Schools berjaya mencipta banyak kejayaan sama ada di peringkat kebangsaan mahu pun antarabangsa.

“Pasukan Malaysia memenangi anugerah khas di F1 in Schools World Finals 2023 di Singapura, manakala pada 2022, pasukan kita berjaya meraih tiga anugerah khas di pertandingan yang diadakan di United Kingdom secara hibrid,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani MoU tersebut di Bangunan Canseleri UiTM, Shah Alam baru-baru ini.

Tiquar Enterprise diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Nazrin Zulkifli selaku In Country Coordinator, F1 in Schools Malaysia.

Mengulas lanjut Shahrin berkata, UiTM turut memainkan peranan penting dalam menyediakan mentor-mentor daripada Kolej Pengajian Kejuruteraan bagi melatih pasukan yang bertanding.

Jelasnya lagi, kerjasama tersebut melibatkan Pejabat Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN) UiTM dan Kolej Pengajian Kejuruteraan, yang menggunakan pendekatan Quantiple Helix iaitu lima elemen utama yang menggabungkan akademia, industri, agensi kerajaan, komuniti, dan orang awam.

“Melalui kerjasama ini, pelajar-pelajar didedahkan kepada pengetahuan kejuruteraan, teknologi, dan pemasaran sambil berinteraksi dengan rakan strategik dari industri dan pihak kerajaan.

“Pelajar-pelajar yang menyertai pertandingan ini bukan sahaja mendapat manfaat dalam bidang akademik tetapi juga membina kemahiran insaniah, sahsiah diri, dan kepimpinan,”katanya.

Ujarnya lagi, malah, banyak alumni program ini berjaya dalam pelajaran sehingga ke peringkat doktor falsafah (PhD) dan membina kerjaya cemerlang dengan syarikat-syarikat antarabangsa. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN