Evanatie Sannie bukan sekadar rupawan - Utusan Malaysia

Evanatie Sannie bukan sekadar rupawan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERBEKALKAN bakat dan kejelitaan, pendatang baharu, Evanatie Sannie dijangka mampu pergi jauh dalam bidang nyanyian. 

Penyanyi asal Kota Marudu, Sabah ini adalah pakej lengkap. Siap diketengahkan sebagai pelapis dunia hiburan. Tinggal sahaja bakat yang dimiliki diasah secukupnya. 

Kebolehan nyanyian Evanatie tidak disangkal. Vokal unik yang dimiliki menarik keyakinan komposer Aiman Zaidi, Wani Annuar, Farez Asmadi, Rudy Nastia untuk menghadiahkan lagu Pendam Rasa buat peserta Ratu Unduk Ngadau Sabah 2022 ini. 

Berkali-kali penyanyi ini menitipkan rasa syukur atas peluang yang dihadiahkan kepadanya. Baginya, peluang merakamkan lagu, yang diberikan tidak selalu datang.

“Saya sangat bersyukur kerana diberi peluang dan kepercayaan untuk berkongsi karya ini dengan peminat muzik tanah air. 

“Saya akui lagu ini amat dekat dengan saya. Saya harap perasaan yang saya curahkan dalam lagu ini, dapat dirasakan mereka yang mendengarnya. 

“Mimpi saya, yang dahulunya mahu bergelar penyanyi, akhirnya menjadi realiti. Saya sangat bersyukur kerana diberi peluang,” katanya. 

Pendam Rasa adalah sebuah lagu berentak balada yang mengisahkan mengenai perasaan cinta yang terpendam dan tidak terluah.

Dalam pada itu, setiap penyanyi baharu seperti Evanatie pasti teruja apabila lagu nyanyian mereka pertama kali diputarkan di radio. 

Perasaan itu tidak dapat disembunyikan anak muda berusia 23 tahun ini. Baginya, impian memiliki lagu sendiri ibarat mimpi menjadi kenyataan. 

“Proses penghasilan lagu ini amat bermakna untuk saya yang merupakan pendatang baharu dalam dunia seni suara. 

“Tidak dapat saya ungkapkan rasa berterima kasihnya saya kerana diberi kepercayaan sebesar ini. Perasaan itu biarlah saya kongsikan dalam lirik dan melodi lagu ini,” katanya lagi. 

PENGALAMAN YANG MENDIDIK

Penglibatan Evanatie dalam pertandingan ratu cantik sebenarnya satu pengalaman yang amat membuka mata. 

Meskipun hanya berpuas hati di tempat kelima pada pertandingan Unduk Ngadau 2022, Evanatie memanfaatkan penyertaan tersebut dengan mengaut seberapa banyak ilmu memantapkan keyakinan diri.

“Yang pasti, saya belajar untuk menjadi lebih yakin dan cara berdepan khalayak ramai. Ilmu itu berguna untuk saya yang mahu berkecimpung dalam bidang muzik,” katanya.

Dalam pada itu, Evanatie enggan semata-mata bersandarkan rupa paras cantik untuk menjadi penyanyi. Dia berharap bakat nyanyiannya dipandang lebih daripada imej dan penampilannya.

“Rupa paras itu bonus. Bakat tetap dipandang. Saya masuk dalam dunia muzik bersandarkan kebolehan saya menyanyi dan bermain dram. Saya harap perkara itu lebih menonjol, berbanding penampilan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya