KUALA LUMPUR: Vokalis kumpulan Govinda, Irfan, berpandangan Ernie Zakri antara penyanyi Malaysia yang berpotensi mencipta nama dan mengembangkan sayap ke Indonesia.
Kata Irfan atau nama sebenarnya Muhammad Irfan Hadari, hal itu kerana penyanyi berusia 32 tahun itu mempunyai kemampuan nyanyian luar biasa, justeru layak diberi peluang untuk menyerlah di negara seberang.
“Kehadiran Ernie ke Indonesia dengan lagu Hal Hebat dan Masing-Masing disambut baik peminat dan rakan media di Indonesia.
“Dia miliki suara yang luar biasa, salah seorang diva terbaik dari Malaysia, justeri kami bangga kerana dapat mempromosikan dia di sana,” katanya.
Irfan berkata demikian ketika ditemui pada sidang akhbar Konsert Govinda Hal Hebat di ibu negara, baru-baru ini.
Irfan sementara itu berkata, pandangan yang mengaitkan Ernie menumpang populariti Govinda untuk dikenali di Indonesia adalah tidak benar.
Sambungnya, bakat dimiliki Ernie sudah cukup mengangkat penyanyi itu, justeru dia tidak perlu menumpang populariti kumpulan berkenaan.
“Ernie ada bakat yang luar biasa dan kami yakin namanya boleh melonjak di Indonesia,” katanya lagi.
Bercakap mengenai konsert Govinda Hal Hebat, Irfan memaklumkan konsert itu adalah penghargaan buat peminat Govinda di Malaysia.
“Kami sedar lagu-lagu Govinda diterima baik di Malaysia. Ini adalah berdasarkan data pentriman dan jumlah tontonan di Youtube yang kami perolehi.
“Bayaran bukan pendorong kami membuat persembahan di sini. Sebaliknya apresiasi rakyat Malaysia terhadap karya kami,” katanya.
Konsert Govinda Hal Hebat bakal diadakan di Zepp Kuala Lumpur pada 31 Oktober ini.
Antara penyanyi lain yang bakal menggegarkan konsert itu adalah Fadly Padi, Ernie Zakri, Aina Abdul dan Elica Paujin.