“SEBELUM tutup mata, saya mahu kembali kepada nyanyian.” kata Joey Daud.
Nama Joey Daud sebagai penyanyi sudah perlahan-lahan pudar dalam ingatan. Beberapa tahun belakangan ini, anak jati Johor itu dilihat lebih menonjol dalam bidang lakonan dengan 95 naskhah dalam senarai.
Sedangkan langkah kanan Joey atau nama sebenarnya Zulkifli Daud, 50, semasa awal-awal memasuki dunia hiburan adalah melalui bidang nyanyian. Di era awal 90-an, namanya sudah mencuri tumpuan sebagai vokalis band Mistaken Identity.
Kemudian bakatnya mula dihidu komposer dan penerbit muzik terkenal, Datuk M.Nasir yang mengambilnya sebagai protege pertama. ‘Sifu’ itu menawarkan kontrak artis rakaman kepada Zoey di bawah syarikat Luncai Emas membuatkan suami kepada pelakon Watie Sadali itu berjaya melancarkan album pertamanya pada 1994.
Mungkin ramai yang tidak tahu, tapi Joey juga pernah menjadi vokalis Exists bagi menggantikan Ezad Lazim yang mengundurkan diri daripada band tersebut suatu masa dulu.
“Komitmen sebagai penyanyi sangat besar dari segi penjagaan fizikal dan mental. Saya ada masalah tonsil kerana sebelum ini saya banyak melawak, mengacara dan berlakon watak berat. Semua itu memerlukan penggunaan bahagian tekak yang banyak.
“Tonsil saya sebenarnya sudah di tahap yang kena lakukan pembedahan kerana jika mahu bercakap pun memang akan rasa sakit. Saya sudah alami masalah ini selama enam tahun.
“Kebetulan, doktor yang merawat juga adalah kawan saya. Kalau terlalu perit dia akan letak Iodin untuk legakan kesakitan. Selain itu, saya akan makan vanila kerana boleh membantu mengecutkan tonsil. Saya ambil pendekatan tidak manjakan diri.
“Manakala untuk nyanyian pula, saya ada cikgu vokal yang mengajar beberapa teknik. Selain itu, tidur memang kena cukup. Jika tidak, tonsil saya akan membengkak,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Dipujuk M.Nasir
Kehadirannya dalam program realiti Famili Duo musim keempat bersama sepupunya, Naqiu mengejutkan peminat. Namun bagi Joey, dia tidak mahu lagi menoleh ke belakang dan dengan serius mahu kembali ke bidang nyanyian.
“Pada asalnya memang saya tidak mahu masuk. Tapi Naqiu ada sebut satu perkataan membuatkan saya tekad untuk sahut cabaran ini. Namun perkataan itu tidak boleh saya kongsikan.
“Ini adalah transaksi saya dari pelawak kepada penyanyi. Program ini ibarat mengejutkan saya daripada tidur, saya bermula dalam bidang ini dan mahu mengakhirinya dalam bidang ini,” katanya.
Dalam para itu, Joey turut teruja berkongsi projek nyanyian akan datang iaitu sebuah single hasil kolaborasi dengan seorang gitaris dan penyanyi rap asal Sabah yang dirahsiakan namanya.
“Alhamdulillah M.Nasir berjaya memujuk saya untuk menghasilkan satu single. Apa yang boleh saya kongsiokan, proses pembikinan sudah pun mencapai 80 peratus dan akan diterbitkan di bawah label Luncai Emas,” tambahnya.