GEORGE TOWN: Empat lelaki warga tempatan ditahan dalam beberapa serbuan berasingan di Perak, Kedah dan Pulau Pinang Khamis lalu kerana dipercayai terlibat dengan sindiket ah long yang menjalankan kegiatan pinjaman wang tanpa lesen.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, kesemua suspek yang berusia antara 23 tahun sehingga 28 tahun itu juga dipercayai terlibat dalam jenayah khianat simbah cat dan khianat dengan api di sebuah premis perumahan sekitar Pulau Pinang sebelum ini.
“Tangkapan ini dipercayai berkaitan sindiket yang menjalankan kegiatan pinjaman wang tanpa lesen yang melibatkan ah long warga tempatan serta ‘online’ (dalam talian) yang turut melakukan jenayah khianat simbah cat dan khianat dengan menggunakan api.
“Hasil soal siasat yang dijalankan, suspek mengaku terlibat dengan 27 kes simbah cat dan khianat dengan api melibatkan enam buah negeri iaitu Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor, Kuala Lumpur dan Melaka,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Hamzah, hasil semakan telefon bimbit yang dirampas pula menjumpai sebanyak 24 rakaman video kejadian simbah cat dan khianat dengan api yang telah dirakam oleh tangkapan semasa melakukan jenayah di lokasi yang berasingan.
Tambah Hamzah, polis juga berjaya membuat beberapa rampasan barang kes dalam operasi ini seperti satu set daftar perniagaan SSM atas nama syarikat yang dipercayai untuk menjalankan aktiviti pinjaman wang tanpa lesen.
Beliau memberitahu, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan Seksyen 436 Kanun Keseksaan serta Seksyen 29AA Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951. -UTUSAN