KUALA LUMPUR: Pelakon, Emma Maembong, mengesahkan telah bercerai talak satu dengan suaminya, Muhammad Shazli Azhar.
Pendedahan mengejutkan itu dibuat Emma dalam kenyataan yang dikongsikan kepada media, baru-baru ini.
“Ya, kami sudah bercerai dan saya sudah tamat tempoh idah. Saya sebolehnya cuba menutup kisah peribadi saya walaupun saya menerima banyak panggilan telefon daripada rakan-rakan media sebelum ini.
“Sebenarnya tujuan saya masih memuat naik foto bersama bekas suami di Instagram hanyalah untuk menjaga emosi anak-anak supaya mereka tidak terkesan dengan perpisahan ini.
“Saya nak anak-anak saya melihat keluarganya masih bahagia,”katanya.
Mengulas lanjut, Emma memaklumkan enggan membiarkan pelbagai spekulasi mengenai status rumah tangganya terus berlegar di media sosial, justeru membuat keputusan untuk memaklumkan perkara sebenar.
“Bagi saya, perpisahan ini bukan satu berita yang patut dibanggakan dan sebab itu saya mengambil Langkah berdiam diri dan tidak bercerita kepada orang luar atau buat sebarang pengumuman.
“Namun, disebabkan hari ini saya menerima panggilan anda (media), saya rasa sudah tiba masanya untuk beritahu kepada umum supaya ia tidak lagi ditanya.
“Saya akui perkahwinan ini bukan satu perjalanan yang mudah. Banyak dugaan yang perlu ditempuh,” katanya lagi.
Sementara itu, pelakon ini lega kerana hubungannya dengan bekas suami kekal baik selain masing-masing reda dengan perceraian yang berlaku.
“Walaupun sudah tidak bersama, hubungan kami kekal baik.
“Masing-masing berlapang dada dengan perceraian ini dan menerimanya secara matang. Kami juga anggap dugaan ini sebagai satu proses untuk memperbaiki diri menjadi lebih baik.
“Fokus kami sekarang adalah membesarkan anak dengan sepenuh kasih sayang. Meskipun tidak lagi bersama, kami akan teruskan aktiviti keluarga bersama-sama dengan dua cahaya mata kami,” kongsinya.
Dalam pada itu, Shazli ketika dihubungi reda dengan perceraian itu dan menganggap jodoh pertemuan sebagai rahsia Allah.
“Kita cuma dapat merancang, tentang jodoh, ajal semua di tangan Tuhan.
“Allah sebaik-baik perancang. Dia tahu apa yang terbaik untuk kita,” katanya.
Emma dan Shazli mendirikan berkahein pada 20 Februari 2020 dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki.