KUALA LUMPUR: “Bercerai tidak semestinya perlu bermusuh dan bukanlah penamat segalanya.”
Demikian kata pelakon Emma Maembong yang tetap mahu mengekalkan hubungan baik dengan bekas suaminya, Muhammad Shazli Azhar, meskipun sudah bercerai.
Emma atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail berkata, dia berharap tiada pihak yang memanjangkan isu perceraian mereka dengan menimbulkan sebarang fitnah dan spekulasi yang tidak berasas.
“Pertama sekali, kami nak ucapkan terima kasih atas kata-kata semangat dan doa. Malangnya, jodoh kita buat masa ini sampai disini sahaja.
“Jika diikutkan, kami tidak mahu mengumumkan mengenai penceraian ini kerana tidak mahu memanjangkan isu. Namun bagi mengelakkan sebarang fitnah, kami sama-sama bersetuju untuk memaklumkan penceraian ini.
“Kami berharap semua pihak tidak memanjangkan berita penceraian ini dan tidak mereka-reka cerita yang tidak benar,” katanya menerusi sebuah hantaran di Instagram.
Tambah Emma, hubungannya bersama bekas suami baik-baik sahaja dan enggan bermusuhan antara satu sama lain kerana mahu membesarkan kedua-dua anak mereka, Shariq Gabriel dan Shakil Aryan Shah.
“Memandangkan hubungan kami baik-baik sahaja. Apatah lagi, kesihatan mental anak-anak adalah keutamaan kami sebagai ibu bapa.
“Ajal, jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Allah swt. Kita hanya mampu merancang Dia sebaik-baik perancang.
“Sekali lagi, kami berdua memohon diberikan ruang privasi, untuk kami membesarkan kedua-dua anak kami secara sihat.
“Terima kasih kerana memahami situasi dan keadaan kami. Mohon doakan yang terbaik buat kami sekeluarga,” jelasnya.
Semalam, Emma tampil mengejutkan ramai pihak selepas mengesahkan berita perceraian itu dan memaklumkan dia juga sudah selesai menjalani tempoh iddah.
Untuk rekod, Emma dan Shazli telah berkahwin pada 20 Februari 2020 dan dikurniakan dua cahaya mata lelaki. -UTUSAN