Bagi memperkasakan bidang pendidikan dalam aspek penguatkuasaan undang-undang, kepimpinan, pengurusan, forensik dan juga penyelidikan pihak Universiti Penguatkuasaan, Kepimpinan dan Pengurusan (ELMU) menjalinkan kerjasama dengan tiga pihak baru-baru ini.
Ia menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Persatuan Sains Forensik Malaysia (FSSM).
Naib Canselor ELMU, Datuk Dr. Kassim Noor Mohamed berkata, menerusi kerjasama ELMU bersama UKM, kedua-dua universiti bersetuju mengadakan kerjasama dalam pertukaran idea akademik dalam bidang pendidikan dan penyelidikan.
Sementara MoU ELMU bersama USIM pula menyaksikan kedua-dua pihak bekerjasama memantapkan kolaborasi akademik daripada segi kedayaupayaan penyelidikan, program kepimpinan dan juga dalam usaha merangka kursus profesional jangka pendek.
Dr. Kassim menambah, penerokaan cara menginovasi pengajian dan aplikasi dalam bidang sains forensik dan juga mengeratkan hubungan antara pakar-pakar forensik di dalam komuniti adalah fokus universiti dalam menjalinkan kerjasama dengan pihak FSSM.
“Melalui kerjasama ini, platform dan kemudahan dalam bidang pengajian dan penyelidikan bidang tersebut juga dapat diinovasi kan,” ujarnya. –UTUSAN