BUTTERWORTH : Meskipun tiada sebarang kejadian buruk berlaku setakat ini susulan jangkaan kejadian air pasang besar yang boleh menyebabkan banjir di Pulau Pinang, orang ramai di negeri ini tetap dinasihatkan supaya terus mengambil langkah berjaga-jaga.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sebagai contoh, pengunjung kawasan peranginan terutamanya berhampiran pantai dinasihatkan agar tidak mandi laut sepanjang tempoh fenomena air pasang ini yang dijangka berlaku sehingga Isnin ini.
“Setakat hari ini keadaan masih terkawal dan saya akan melawat beberapa lokasi ‘hotspot’ (fenomena air pasang besar) bersama pihak JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) Pulau Pinang untuk melihat keadaan semasa.
“Memang tidak ada laporan mengenai banjir dan sebagainya (buat masa ini) tapi apapun, kita perlu sentiasa berwaspada. Jadi, kita menyeru kepada rakyat khususnya yang tinggal di sekitar pantai dan mereka yang ingin ke pantai agar elakkan dari memasuki laut (mandi laut) dalam tempoh tersebut.
“Jika berlaku angin kencang, ombak kuat dan sebagainya, maka, jauhkanlah diri daripada kawasan tersebut,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Beliau ditemui ketika menghadiri Majlis Konvokesyen Penganugerahan Sijil Program EmpowerNCER: Kemahiran dan Keusahawanan bagi tiga daerah di Seberang Perai di Butterworth Arena di sini, hari ini.
Pada majlis yang turut dihadiri oleh Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Mohamad Haris Kader Sultan itu, seramai 450 peserta yang mengikuti kursus berkenaan menerima sijil tamat latihan masing-masing.
Dalam pada itu, Kon Yeow memberitahu, bilik operasi banjir juga kini sedia untuk digerakkan di setiap daerah bagi memantau situasi fenomena air pasang besar di Pulau Pinang agar tindakan susulan dapat diambil dengan segera.
“Pihak SUK (Setiausaha Kerajaan Negeri) sudah turunkan arahan untuk bersiap sedia (membuka bilik operasi jika perlu) dan PBT (pihak berkuasa tempatan) juga dalam keadaan bersedia sepenuhnya. Kita akan teliti jika ada laporan banjir. Jika perlu, kita akan buka semula PPS (pusat pemindahan sementara),” katanya.
Terdahulu, lima negeri diramal bakal berdepan fenomena air pasang besar yang berkemungkinan boleh mengakibatkan banjir besar di beberapa kawasan bermula semalam.
Selain Pulau Pinang, fenomena itu yang diramal berlaku selama empat hari itu turut melibatkan Kedah, Perlis, Perak dan Selangor.-UTUSAN