Elak burung helang punca kereta imam masjid terbabas - Utusan Malaysia

Elak burung helang punca kereta imam masjid terbabas

KEADAAN kereta imam masjid, Nurul Kamal Zulkanain yang terbabas dalam kemalangan di WCE, dekat Lumut kelmarin. - UTUSAN/IHSAN JBPM PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Siasatan awal polis mendapati tindakan mengelak seekor burung helang di tengah jalan menjadi punca kenderaan dipandu seorang imam masjid terbabas di Kilometer 211.8 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) arah utara, dekat sini petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.33 petang itu, Imam Masjid As-Siddiq, Taman Iskandar Perdana, Seri Iskandar, Nurul Kamal Zulkanain, 37, maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd. Rahman, memberitahu pihaknya menerima maklumat kejadian itu daripada orang awam pada pukul 4.35 petang.

“Siasatan awal polis di tempat kejadian mendapati Perodua Kembara yang dipandu dipercayai telah hilang kawalan kerana mengelak haiwan dipercayai burung helang di atas jalan raya,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, tindakan itu menyebabkan kenderaan tersebut terbabas sendiri ke bahu jalan sebelah kiri sebelum melambung masuk ke dalam kawasan pokok kelapa sawit di tepi lebuh raya berkenaan.

Beliau berkata, akibat kemalangan itu, pemandu yang memandu berseorangan telah tersepit di tempat duduk pemandu sebelum berjaya dikeluarkan pihak bomba dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau menjelaskan kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian agar menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Siti Syakilla Azmira Abd. Aziz di talian 019-8804450 atau 05-6899072.

Mangsa yang juga guru agama meninggalkan seorang isteri dan tiga anak termasuk yang baru berusia dua hari ketika kejadian dan dijenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seri Iskandar semalam. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN