PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ASEAN mesti kekal bersatu kerana sebarang perpecahan dalam blok serantau ini berisiko dieksploitasi sehingga boleh merugikan keutamaan dan kesatuan tersebut.
“Justeru, adalah menjadi tanggungjawab kita, negara anggota ASEAN untuk menolak perkara yang cenderung menyebabkan perpecahan.
“ASEAN mesti tegas dan berpendirian dalam menghantar mesej yang jelas kepada dunia yang ASEAN mesti kekal bersatu,” katanya dalam sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 di Vientiane, Laos semalam.
Selaras kepentingan keamanan dan kestabilan untuk pertumbuhan serta kemakmuran berterusan di rantau ini, Anwar berkata, penting bagi ASEAN untuk terus memupuk dan mengukuhkan hubungan dengan rakan dialog serta rakan kongsi luar.
Menurutnya, Malaysia juga menggalakkan rakan dialog ASEAN menguruskan perbezaan mereka demi mencapai hasil positif.
“Kita tidak boleh menekankan secara berlebihan betapa pentingnya dialog dan kerjasama sebagai asas kepada persahabatan dan hubungan baik,” katanya.
Sejurus selepas majlis pembukaan, Perdana Menteri menyampaikan kenyataan negara pada sesi plenari ketua negara ASEAN.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan membuka tirainya pagi tadi di Pusat Konvensyen Kebangsaan (NCC) dengan kehadiran lebih 2,000 delegasi.
Majlis bermula dengan sambutan kehadiran ketua negara ASEAN, termasuk Anwar yang disambut Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone.
Antara ketua negara ASEAN lain yang hadir termasuk Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah; Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong; Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh dan Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra.
Indonesia pula diwakili Naib Presiden, Ma’ruf Amin yang mewakili Presiden Joko Widodo atau Jokowi.
Selepas itu, Perdana Menteri dijangka hadir ke beberapa Sidang Kemuncak Berkaitan termasuk Sesi Bersemuka Pemimpin ASEAN dengan Wakil ASEAN Inter-Parliamentary (AIPA), Sesi Bersemuka
Pemimpin ASEAN bersama Wakil Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) dan Sesi Bersemuka Pemimpin ASEAN bersama Wakil Belia ASEAN.
Perdana Menteri juga dijangka mengadakan Mesyuarat Dua Hala dengan Perdana Menteri Timor Leste, Xanana Gusmão dan Lawrence.
Pada sebelah malam, Perdana Menteri dijadual menghadiri Majlis Makan Malam anjuran Duta Besar Malaysia ke Laos, Edi Irwan Mahmud di Rumah Malaysia. –UTUSAN