KUALA LUMPUR: Pengacara, Hunny Madu, 40, tidak akan sesekali menggunakan lawak jenaka berbaur sindirian atau penghinaan terhadap individu lain sebagai bahan pengacaraan sesuatu program dan rancangan kendaliannya.
Katanya, tindakan itu tidak wajar dan hanya akan mendatangkan keburukan kepada pengacara berkenaan.
“Kalau kita menilai orang lain secara terbuka, secara tidak langsung kita berkemungkinan akan mengaibkan mereka.
“Sebagai pengacara, saya tidak akan gunakan elemen-elemen itu sebagai bahan pengacaraan saya.
“Kalau atas nama bergurau sekalipun, ada hadnya. Ia mungkin hanya dibolehkan kalau tidak menyakitkan hati individu lain dan boleh diterima umum.
“Bagi saya mudah. Perkara yang meragukan akan saya tinggalkan. Dan setakat ini belum pernah saya terfikir mahu berjenaka dengan ‘membahan’ orang lain ketika mengacara,” kongsinya.
Hunny berkata demikian ketika ditemui selepas tayangan secara live episod pertama program Borak SeeNi di Astro Bukit Jalil, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Hunny atau nama sebenarnya Hani Farhana Mohd. Hatim memberitahu dia juga sebelum ini pernah berdepan rakan pengacara yang bersikap toksik.
“Sepanjang pengalaman bergadingan dengan rakan penyampai lain, hanya sekali sahaja saya digandingkan dengan pengacara yang sikapnya agak negatif.
“Ketika bekerjasama dengan individu tersebut, saya dapat merasakan yang dia tidak selesa melihat saya lebih menyerlah daripadanya.
“Realitinya, itu hanyalah persepsinya sendiri. Saya rasa setiap pengacara ada personaliti dan peluang untuk menyinar. Kena bawa semangat positif dan tak perlulah berhasad dengki,” kongsinya.