PETALING JAYA: Pertumbuhan ekonomi suku kedua 2024 mencapai 5.9 peratus berbanding 4.2 peratus suku pertama meskipun ekonomi dunia serba galau dek hiruk-pikuk geopolitik tidak berkesudahan sekali gus menunjukkan kedudukan ekonomi negara kalis tantangan dan terus mengukuh.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengangguran setakat Ogos 2024 menurun kepada 3.2 peratus, kadar ini terendah sejak Januari 2020.
Katanya, tahap inflasi Ogos 2024 turun 1.9 peratus setelah tiga bulan berturut-turut berada pada paras 2 peratus.
“Namun, kita tidak berganjak dalam hal meredakan kenaikan kos sara hidup yang membebankan rakyat. Kita mencipta sejarah tahun lalu apabila meraih pelaburan diluluskan RM329.5 bilion ringgit – tertinggi pernah direkodkan.
“Bagi separuh pertama 2024, kita berjaya meraih pelaburan diluluskan RM160 bilion ringgit, melonjak ketimbang RM135.6 bilion ringgit.
“Ringgit diiktiraf salah satu mata wang dengan prestasi terbaik di dunia. Kesungguhan semua pihak berjaya mengukuhkan ringgit 14.4 peratus ketimbang dolar Amerika dalam suku ketiga 2024; pencapaian terbaik sejak tahun 1973,” katanya ketika pembentangan Belanjawan 2025 Malaysia Madani di Dewan Rakyat, hari ini. – UTUSAN