‘Dulu saya korban cinta seni, kini tiba masa terbang tinggi' - Utusan Malaysia

‘Dulu saya korban cinta seni, kini tiba masa terbang tinggi’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI KETIKA ini, tiada apa lagi yang mungkin berperang dalam hati dan fikirannya. Segala rasa yang pernah dilalui dahulu, ditinggalkan jauh. Dia tidak mahu berpaling apatah lagi merasai kehidupan sama.

“Jujur, adakah ruang dan peluang untuk Syamsul kembali merajai hati seperti masa lalu?”

Soalan itu saya lontarkan. Sekadar mahu menguis, seperti mana yang ‘diharapkan’ segelintir warganet terutama selepas dia dilihat bergambar sama dengan bekas suaminya, Syamsul Yusof tempoh hari.

Dia tidak mengambil masa lama untuk melontarkan jawapan;

“Biarlah kami sebagai kawan dan ibu bapa kepada anak-anak. Cukup itu.”

Ringkas namun cukup untuk menyatakan dia bahagia dengan kehidupan sekarang. Putaran hidupnya kini lebih kepada keluarga, anak-anak, kerjaya seni dan perniagaan. Dia tidak perlu lebih.

Seiring itu saya tanya, adakah Sarah gembira sekarang?

Dia menjawab; “Sangat gembira. Kehidupan saya sangat positif. Apabila kita berjaya keluar dari ruang negativiti, kita akan mencari persekitaran positif. Kawan-kawan dan keluarga, mereka cukup membahagiakan.

“Sekarang, saya mahu buat perkara yang menghadirkan kegembiraan kepada diri sendiri. Daripada bersedih, saya lebih suka rentap tenaga positif dan gembira. Sebab itu, saya suka bekerja.

“Saya jadikan pekerjaan seni dan perniagaan sebagai taman permainan saya. Tipu kalau tidak penat, tetapi itu yang menguatkan semangat saya untuk terus hidup. Saya berhak menikmati hidup ini,” ujarnya.

Bagi Puteri Sarah Liyana, perjuangannya kini adalah untuk menyempurna impian yang satu ketika dahulu terpadam. Dia harus berani.

“Satu ketika dahulu, saya korbankan kerjaya seni. Fokus kepada keluarga dan anak-anak. Saya lepaskan semua. Saya ikhlas, tidak ada ralat pun. Tetapi kini masanya untuk saya terbang tinggi,” katanya.

LELAKI KIRIMAN TUHAN

LANTAS bagaimana pula dengan jodoh? Tidakkah dia sunyi menjalani kehidupan tanpa sosok seorang lelaki terutama selepas dia dan bekas suami sah bercerai talak satu Jun tahun lalu?

“Buat masa sekarang, itu bukan satu keperluan dan kewajiban. Bagi saya, jika sampai jodoh satu hari nanti, saya terima dan reda dengan ketentuan Allah.

“Tetapi sekarang, saya seronok hidup sendiri,” kongsinya yang pernah dikaitkan dengan aktor dan usahawan Indonesia, Andi Arsyil sebelum ini.

Pernah melalui episod kegagalan rumah tangga sebelum ini, pastinya ibu kepada dua orang anak, Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4 mempunyai ciri-ciri lelaki kiriman Tuhan idamannya.

Baginya, cukup seseorang itu memahami dan menyokong impiannya untuk terus bersinar dalam industri seni serta menjadi bahu untuk dia bersandar dalam mendepani onak ranjau kehidupan.

“Saya mahu lelaki yang mampu melakukan apa sahaja impian kami bersama-sama. Sama-sama berniaga, sama-sama berhibur dan sama-sama menikmati kebahagiaan. Kami membesar bersama.

“Paling penting, boleh terima anak-anak saya. Mereka hidup dan mati saya. Jadi, penting untuk saya mencari lelaki yang menerima mereka dengan seikhlasnya. Bukan lelaki yang aku buat hal kau, kau buat hal kau,” ujarnya.

Tambah wanita besi berusia 38 tahun ini, dia juga tidak meletakkan wang ringgit dan kemewahan sebagai asas dalam kebahagiaan berumah tangga. Baginya, sederhana itu sudah mencukupi.

“Bagi saya, duit itu memang penting tetapi bukan pengukur kebahagiaan. Saya sudah rasa semua itu. Hidup mewah semua itu tidak menjanjikan apa-apa.

“Apa yang penting adalah masa dan kasih sayang. Saling hormat-menghormati, itu sudah cukup membuatkan kita tenang,” kata pelakon Polis Peronda itu.

MUZIKAL LAWAK, PERNIAGAAN

KETIKA ini, namanya panas juga diperkatakan terutama selepas dia tampil sebagai salah seorang peserta Muzikal Lawak Superstar Musim Keempat (MLS4) bergandingan dengan Mamak Puteh dan Ilham Abata menerusi kumpulan Gebu.

Ramai tidak menyangka, daripada watak seorang isteri dan ibu, rupanya-rupanya aktres yang mula menceburi bidang seni pada 2005 ini boleh berjenaka di atas pentas.

“Saya mahu mencuba sesuatu yang berbeza. Mencari ruang di luar zon selesa. Tak sangka sebenarnya, respons yang diterima sangat positif. Siapa cakap saya tidak boleh bermuzikal dan berlawak atas pentas?

“Saya ini sebenarnya seorang yang senang terhibur. Jadi, bila dapat peluang, saya cakap dengan diri sendiri, mengapa tidak kan? Sampai bila hendak selesa dengan perjalanan seni sedia ada.

“Bila dapat peluang menyanyi, walaupun biasa-biasa sahaja suara, tapi bolehlah buat lepas tekak. Saya bukan mahu jadi penyanyi, tidak pernah impi di pentas Anugerah Juara lagu pun,” selorohnya.

Selain sibuk dengan MLS4, Puteri Sarah Liyana juga ketika ini sedang menjalani penggambaran drama Polis Peronda terbitan Skop Production dan perniagaan tudung serta penjagaan wajah.

“Saya memang sudah lama mahu menceburi bidang perniagaan. Sekarang, saya boleh berbangga dengan dua jenama, Arasyi (tudung) dan Lumier (penjagaan wajah). Susah, tetapi kena cabar diri.

“Saya tahu kerjaya seni tidak menjanjikan kesenangan di masa akan datang jadi kita perlu pandai cipta dan raih peluang. Kena belajar cari duit sendiri.

“Bila sudah mula berniaga, masa untuk berlakon saya terpaksa kurangkan. Kena bahagi masa sebaiknya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN