KUALA LUMPUR – Menerima julukan duda ‘hot’ Malaya selepas bercerai, pelakon, Fattah Amin hanya mampu mengucapkan terima kasih.
Fattah atau Abdul Fattah Mohd Amin, 34, terharu dengan sokongan rakyat Malaysia membuatnya bersemangat meneruskan hidup.
“Saya sebenarnya tidak mahu komen apa-apa. Tapi saya ingin mengucapkan terima kasih semua yang menyokong.
“Tanpa mereka siapalah saya. Saya berdiri di sini hari ini pun sebab mereka. Saya bersyukur,” katanya.
Juara Hero Remaja 2011/2012 itu juga memaklumkan sedang sibuk memberi fokus kepada bidang lakonan dan membesar anak, Fatima.
“Sekarang sibuk bekerja dan ada beberapa penggambaran dengan Erma Fatima dan filem lain,” tambahnya. Malah, kelab peminat Fattah ‘The FA Team’ yang hiatus selama enam tahun turut kembali aktif.
“Mereka sebenarnya sentiasa Ada. Cuma mungkin sebelum ini mereka berdiam diri.
“Saya pun tak sangka mereka tiba-tiba kembali aktif dan menyokong saya kembali,” tambahnya.
Terdahulu, Fattah mencuri perhatian apabila melakukan sesi siaran langsung di aplikasi TikTok dan meraih lebih 50,000 tontonan.
Sebelum ini, Fattah dan Nur Fazuran sah bercerai pada Oktober lalu.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Nur Fatima Aisya, 4. -UTUSAN