SEPANG: Dua lelaki tempatan ditahan bersama 33 kilogram (kg) dadah jenis kanabis yang disembunyikan dalam bagasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 10 Oktober lalu.
Dalam kejadian itu, suspek berusia 30an baru sahaja tiba dari negara jiran dengan menaiki sebuah pesawat penerbangan tempatan.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, suspek ditahan pegawai Kastam yang bertugas di Bahagian Perkastaman, Cawangan Penumpang KLIA selepas bagasi dibawa dikesan membawa barangan mencurigakan.
Beliau berkata, hasil imbasan yang menggunakan mesin pengimbas bagasi menemui 58 bungkusan plastik lutsinar kedap udara yang mengandungi gumpalan tumbuhan berwarna hijau dan ia disyaki dadah jenis kanabis.
“Dianggarkan berat kasar kesemua dadah tersebut adalah sebanyak 33 kilogram dan nilai dadah yang telah dirampas sekitar RM102,300. Difahamkan, dadah itu untuk edaran di Lembah Kelang.
“Kanabis adalah dadah berbahaya yang disenaraikan dibawah Bahagian Pertama, Jadual Pertama, Akta Dadah Berbahaya 1952. Hasil pemeriksaan air kencing kedua- duanya didapati positif dadah,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Dalam kes berasingan, Anis Rizana memaklumkan, pihaknya juga berjaya menemui satu kotak berisi dadah jenis Methamphetamine dan Ketamine seberat 10.12 kg dengan bernilai kira-kira RM451,420.
Menurutnya, kotak itu ditemui oleh anggota dari Bahagian Penguatkuasaan Zon Tengah, Unit lll (LTAKL) dengan tag penerbangan dari Kuala Lumpur ke Miri pada 6 Oktober lalu.
“Hasil pemeriksaan yang dilakukan ke atas kotak tersebut, pasukan telah menemui plastik lutsinar yang disyaki mengandungi dadah jenis Methamphetamine dan Ketamine,” katanya.
Katanya, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan akan dijatuhkan hukuman sebat tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati. – UTUSAN