SHAH ALAM: Pelakon sensasi, Nur Fazura, 41, mendedahkan, Fattah Amin berlaku curang terhadapnya sehingga menyebabkan dua bulan lalu mereka tidak menetap di bawah satu bumbung sebagai suami isteri.
Sambil mengalirkan air mata, Fazura mengakui kecewa kerana pengorbanannya selama tujuh tahun bergelar isteri kepada Fattah tidak dihargai oleh aktor tersebut ketika menjadi seorang suami.
Malah, dakwa Fazura, dia juga hidup sengsara selama dua tahun hidup bersama Fattah apalagi setelah mengetahui mengenai isu kecurangan yang dilakukan lelaki tersebut
“Saya nyatakan di sini, ada tiga sebab perceraian ini berlaku. Setelah ramai yang bertanya dan pelbagai spekulasi di luar sana yang saya hadapi, punca perceraian pertama adalah, Fattah telah abaikan nafkah untuk saya dan Fatima setelah sekian lama.
“Kedua, kami tidak ada persefahaman lagi, maknanya saya telah lama tak bahagia, emosi saya terganggu, mental saya tertekan. Tapi saya tetap bertahan walaupun pelbagai tohmahan, fitnah dan cacian dilemparkan kepada saya.
“Saya berharap seorang suami itu akan ke hadapan untuk mempertahankan saya tapi langsung tiada. Ketiga, yang saya paling tak boleh terima lagi ialah memang Fattah berlaku curang terhadap saya,”katanya.
Fazura berkata demikian semasa ditemui di perkarangan Mahkamah Rendah Syariah Petaling usai sesi prosiding kedua permohonan perceraian yang dibuat olehnya terhadap Fattah.
Pelakon filem Gol dan Gincu ini berkata, dia juga mengambil pendekatan untuk mengunci mulut sebelum ini kerana mahu menjaga aib diri dan Fattah selain memikirkan tentang anak mereka, Fatima Aisya.
“Saya ambil pendekatan untuk kunci mulut kerana memikirkan tentang anak. Emosi dan mental saya sangat terganggu, saya tertekan.
“Fattah juga berlaku curang terhadap saya, itu yang paling saya tidak boleh terima. Saya ada bukti dia curang,”katanya.
Dalam pada itu, Fazura menafikan dakwaan dia nekad mahu berpisah disebabkan tidak sekufu dengan Fattah.
“Saya sudah berkorban banyak untuk Fattah, saya sediakan tempat tinggal, makan minum, hadiahkan kereta Range Rover untuk keselesaan dia. Kenderaan itu dia bawa naik wanita yang haram baginya.
“Jadi dakwaan kata saya tidak sekufu dengan Fattah adalah tidak benar sama sekali. Kalau kami tidak sekufu, dari awal saya tidak berkahwin dengannya.
“Tetapi pengorbanan saya diambil kesempatan, itu yang membuat saya sangat kecewa. Saya kesal kerana telah berkorban banyak,”katanya.
Tedahulu, Fattah dan Fazura disahkan bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari hari ini.
Lafaz cerai dilakukan di hadapan Hakim Syarie, Abdul Malik Soleh kira-kira jam 9.45pagi.
Pada 13 September lalu, Fazura memfailkan cerai terhadap Fattah di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.
Imbas kembali, Fattah dan Fazura mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Nur Fatima Aisya yang kini berusia tiga tahun.-UTUSAN