GEORGE TOWN : Dua buah rumah dan sebuah kereta rosak dalam satu kemalangan melibatkan sebuah treler ‘loader’ yang membawa kren (crawler crane) di Changkat Delima 2, semalam.
Jurucakap Penang Infrastructure Corporation (PIC) berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 3.15 petang itu,
treler terbabit yang dimiliki oleh sebuah syarikat dalam proses untuk membawa dan menghantar ‘crawler crane’ berkenaan ke CH2900 yang akan digunakan untuk kerja-kerja pembinaan di kawasan tersebut.
“Setelah ‘loader’ itu tiba di kawasan kejadian, ia diparkir sementara untuk tujuan menurunkan ‘crawler crane’ tersebut. Malangnya, ‘loader’ tersebut telah mengundur dengan sendirinya sebelum melanggar tembok rumah penduduk berhampiran,” katanya di sini, hari ini.
Menurut jurucakap itu lagi, kren di atas ‘loader’ tersebut turut jatuh dan menghempap sebuah kereta yang diparkir di tepi jalan berkenaan.
“Pihak kontraktor bagaimanapun telah mengambil tindakan drastik dengan mengawal lalu lintas dan menutup kawasan tersebut bagi mengelakkan kesesakan jalan dan memastikan keselamatan penduduk.
“Tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku dan kejadian ini telah menyebabkan berlakunya kerosakan kepada dua buah rumah dan sebuah kereta,” katanya.
Tambah beliau, siasatan awal mendapati, kejadian itu berlaku disebabkan masalah teknikal pada paip angin sambungan di antara kepala lori dan ‘loader’ terbabit.
“Anggaran kerugian masih dalam taksiran manakala kerja pembersihan dan pembaikan sedang giat berjalan.
“Pemilik rumah dan kereta berkenaan juga telah ditemui dan rundingan ganti rugi akan dibuat dalam tempoh yang terdekat,”katanya.-UTUSAN