Dua remaja perempuan nyaris diculik penjenayah van plat Thailand

Dua remaja perempuan nyaris diculik penjenayah van plat Thailand

MESEJ tular di media sosial berkaitan kejadian culik oleh van bernombor pendaftaran Thailand di Kampung Padang, Gerik. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun menempuh detik menakutkan selepas hampir menjadi mangsa culik dalam kejadian di Kampung Padang, di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 3.20 petang itu, mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang dari sekolah ke rumah dengan berjalan kaki sebelum sebuah van berwarna putih menggunakan nombor pendaftaran kenderaan negara jiran menghimpit mangsa.

Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata,  mangsa kemudian telah ditarik beg sekolahnya dan diseret dua lelaki tidak dikenali memakai pelitup muka sehingga dia terjatuh di kawasan tanah perkuburan Kampung Padang.

“Mangsa bagaimanapun diselamatkan abang kandungnya yang tiba di lokasi kejadian apabila dia sempat menendang seorang daripada suspek. Kedua-dua suspek tersebut kemudian melarikan diri dengan menaiki van berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, kejadian culik di lokasi sama turut berlaku kelmarin pada pukul 6.45 pagi membabitkan pelajar berusia 14 tahun yang dalam perjalanan ke sekolah dengan menunggang basikal.

Katanya, sebuah van berwarna kelabu telah berhenti di hadapan mangsa manakala sebuah lagi van berwarna putih menghimpit di bahagian tepi sebelah kanan.

“Kedua-dua kenderaan menggunakan nombor pendaftaran negara jiran itu mengekori mangsa sehingga jalan raya di hadapan tanah perkuburan tersebut. Bagaimanapun, tindakan suspek itu disedari seorang wanita yang dikenali mangsa dengan dia bertindak segera memanggil remaja tersebut.

Menurut Zulkafli, laporan berkaitan kedua-dua kejadian itu dibuat pengadu semalam dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 363/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan culik.

“Usaha giat dijalankan bagi mengesan suspek dan saksi. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Terdahulu, tular mesej di media sosial dipercayai daripada kumpulan sembang aplikasi Whatsapp berkaitan kejadian culik oleh individu yang menaiki van dengan nombor pendaftaran Thailand. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN