Dua ‘Datuk’ direman berhubung tuntutan RM4.3 juta

Dua ‘Datuk’ direman empat hari berhubung tuntutan RM4.3 juta

Pengarah direman
DUA lelaki pengarah operasi dan pengarah sebuah syarikat pemaju perumahan dibawa ke Mahkamah Majistret bagi permohonan reman berhubung siasatan tuntutan palsu, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Dua pengarah syarikat pemaju perumahan bergelar ‘Datuk’ direman selama empat hari bagi membantu siasatan tuntutan palsu projek perumahan berkembar bernilai RM4.3 juta sekitar 2021 hingga 2023.

Tempoh reman itu dibenarkan Mahkamah Majistret selepas permohonan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di hadapan Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin, hari ini.

Difahamkan, kedua-dua lelaki berusia 41 dan 44 tahun itu masing-masing bertugas sebagai pengarah operasi dan pengarah dalam dua syarikat berasingan ditahan di Pejabat SPRM Selangor kira-kira pukul 7.05 malam, semalam.

“Pada sekitar tahun 2021 sehingga 2023, pengarah operasi sebuah syarikat itu mengemukakan tuntutan palsu kepada sebuah agensi kerajaan.

“Tuntutan itu melibatkan payment voucher dan sijil pembinaan rumah bagi 19 unit rumah berkembar projek perumahan di Temerloh, Pahang bernilai RM4,256,143.20 sepanjang tahun 2021 sehingga 2023 namun pembinaan tersebut tidak pernah dilakukan,” kata sumber.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Mengikut seksyen tersebut, orang yang didapati bersalah oleh mahkamah boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai butir matan palsu atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Dalam prosiding tersebut, kedua-dua pengarah itu masing-masing diwakili peguam Syamil Sazili dan M. Hafiz Zainol Abidin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya