Dua lelaki ditahan sorok dadah dalam bungkusan teh Cina

Dua lelaki ditahan sorok dadah dalam bungkusan teh Cina

KHAW Kok Chin (tengah) menunjukkan dadah dalam bungkusan teh Cina yang rampas pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kegiatan dua lelaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah dengan meletakkan bahan terlarang itu dalam bungkusan teh Cina terbongkar selepas mereka ditahan pada 23 Oktober lalu.

Penahanan lelaki warga tempatan itu dilakukan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur  pada pukul 3.30 petang di Kondominium Bandar Baru Seri Petaling di sini.

Turut ditemukan iaitu dadah jenis syabu dan heroin seberat 145 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM4.18 juta.

Pengarah JSJN, Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, hasil maklumat dan risikan, kedua-dia suspek berusia 25 dan 21 tahun itu ditahan di kawasan lif kondominium berkenaan.

Kata beliau, pemeriksaan ke atas suspek pertama telah menemukan bungkusan berwarna putih dipegangnya.

“Hasil pemeriksaan di dalam bungkusan berkenaan mengandungi empat bungkusan berwarna keemasan berisi dadah disyaki Syabu.

“Turut ditemukan bersama suspek iaitu enam bungkusan plastik lutsinar berisi dadah disyaki heroin,” katanya dalam sidang akhbar di IPK KL, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pemeriksaan turut dilakukan ke atas suspek kedua dan menemukan bungkusan berwarna hitam yang dipegangnya.

Beliau memberitahu, pemeriksaan lanjut di dalam bungkusan itu mengandungi dadah disyaki syabu dan empat bungkusan plastik lutsinar berisi heroin.

“Seterusnya, berpandu kedua-dua suspek pasukan serbuan telah membuat pemeriksaan ke atas sebuah rumah kondominium dan menemukan 100 bungkusan berisi syabu.

“Turut ditemukan 15 bungkusan warna keemasan berisi dadah disyaki syabu dan 40 bungkusan plastik lutsinar disyaki heroin,” jelasnya.

Kok Chin menambah, pasukan serbuan turut merampas sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang disewa oleh suspek bagi tujuan penghantaran dadah kepada pembeli.

Jelas beliau, seorang daripada mereka berperanan sebagai penjaga stor dengan menerima upah RM5,000 sebulan manakala rakannya akan membantu suspek dan menerima upah secara harian.

“Modus operandi sindiket adalah dengan menyewa kondominium kos rendah sebagai tempat menyimpan dadah sebelum diedarkan kepada pembeli di Lembah Klang.

“Sindiket ini juga dipercayai mula aktif sejak pertengahan tahun ini dan saringan awal mendapati suspek pertama didapati positif dadah manakala rakannya negatif,” ujarnya.

Tambah beliau, semakan rekod mendapati salah seorang suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau manakala seorang lagi tiada rekod ditemukan.

“Kedua-dua mereka direman selama tujuh hari bagi siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Jumlah keseluruhan anggaran berat dadah yang dirampas adalah 124 kg syabu dan heroin (21 kg) dianggarkan bernilai RM4.18 juta,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, jumlah dadah yang dirampas boleh digunakan terhadap seramai 782,000 penagih.

“JSJN akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan rangkaian sindiket yang masih bebas untuk diheret ke muka pengadilan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya