Dua kapal, dua lori tangki muatan 27,000 litar diesel dirampas - Utusan Malaysia

Dua kapal, dua lori tangki muatan 27,000 litar diesel dirampas

SAHARUDDIN Mohd. Kia (tengah) memeriksa diesel hasil serbuan di sebuah kapal berhampiran jeti di Sungai Kuang, Kemaman, hari ini. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu merampas dua kapal dan dua buah lori tangki dengan muatan 27,000 liter diesel yang dianggarkan bernilai lebih RM1.7 juta di Bukit Kuang, dekat sini, hari ini.

Pengarah KPDN negeri, Saharuddin Mohd. Kia berkata, serbuan yang dijalankan 20 penguat kuasa KPDN dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) itu dilakukan di dua buah jeti berhampiran Sungai Kuang, di sini, kira-kira pukul 5 pagi.

“Hasil serbuan mendapati lebih 10,000 liter diesel telah dipindahkan dari kapal ke lori tangki menggunakan paip saluran getah.

“Seramai tujuh lelaki termasuk seorang Indonesia berusia 30 hingga 40 an turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya ketika ditemui di Sungai Kuang, di sini, hari ini.

Saharuddin berkata, hasil maklumat awal yang diperoleh, modus operandi sindiket ini ialah dengan membeli minyak diesel di tengah laut menggunakan kapal tunda dan minyak itu kemudiannya dipindahkan ke lori tangki untuk dijual semula di pasaran gelap.

“Pemeriksaan lanjut juga mendapati kedua-dua kapal dan lori itu tidak memiliki sebarang permit atau surat kebenaran daripada Pengawal Bekalan untuk berurusan dengan barang kawalan.

“Pemeriksaan juga mendapati salah sebuah kapal dan dua daripada pekerja lelaki itu pernah ditahan sebelum ini dalam kes yang sama pada Julai lalu,” katanya.

Tegas Saharuddin, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam sindiket haram.

Menurutnya, kes akan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya