MELAKA: Perangkap berumpan itik yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bulan lalu berjaya menangkap seekor buaya tembaga dianggarkan seberat 200 kilogram (kg) di Sungai Malim di sini, kelmarin.
Timbalan Pengarah Perhilitan Melaka, Alfiesyahril Anewar Ahmad berkata, beberapa anggotanya yang membuat rondaan berkala mendapati perangkap mengena kira-kira pukul 10 pagi.
Kata beliau, pihaknya percaya buaya betina itu masuk perangkap pada awal pagi, memandangkan rondaan petang Selasa lalu mendapati ia kosong.
“Saya percaya buaya yang ditangkap ini antara yang membaham beberapa ekor kambing milik penternak pada Mei dan Jun lalu di Kampung Tengah, Pulau Gadong.
“Berdasarkan gambar yang diambil penduduk di Kampung Tengah, saya percaya buaya ini merupakan antara disyaki membaham kambing milik penduduk di situ.
“Seekor lagi buaya yang dianggarkan seberat 300kg masih lagi bebas dan kita terus memburu reptilia itu,” katanya ketika ditemui.
Tambah Alfiesyahril Anewar, reptilia betina itu bakal dipindahkan ke Paya Indah Wetlands, Dengkil, Selangor. –UTUSAN