KUALA LUMPUR: Dua individu disyaki ahli GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memiliki buku-buku berkaitan pengasas Pertubuhan Al-Arqam, Asaari Muhammad.
Di hadapan Majistret Farah Nabihah Muhammad Dan, suri rumah, Aishah Bula Tajudin, 60, didakwa memiliki 38 buku yang dilarang penerbitannya di sebuah premis di Kampung Sungai Penchala, Kuala Lumpur, di dalam daerah Brickfields, pada pukul 10.30 pagi, 21 September lalu.
Antara buku diharamkan itu ialah Darul Arqam 25 Tahun Perjuangan Abuya Syeikh Imarn Ashaari Muhammad At-Tamimi, Siri Terkini Era Kasih Sayang “Abuya Pemimpin Kasih Sayang” dan Abuya Ashaari Muhammad Pemimpin Paling Ajaib di zamannya.
Sementara itu, di hadapan Majistret S. Mageswary, usahawan katering, Mohammad Nazif Jamaluddin, 49, didakwa atas pertuduhan memiliki dua buku bertajuk Perang Teluk Islam Akan Kembali Gemilang dan Meruntuh Berhala di Tiongkok di sebuah Ekhwan Catering, pada pukul 11.30 pagi, 21 September lalu.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 8(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang memperuntukkan denda maksimum RM5,000, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Sabri Othman mencadangkan jaminan RM15,000 dengan dua orang penjamin tempatan bagi kedua-dua kes berkenaan namun peguam bela, Boestamam Ahmad yang mewakili Aishah memohon jumlah ikat jamin yang rendah kerana wanita itu tidak mempunyai pendapatan selain suaminya sedang terlantar akibat lumpuh.
Bagi Mohammad Nazif, peguam memohon jumlah wang jamin itu dikurangkan kerana pendapatan lelaki itu telah terjejas sejak satu atau dua bulan yang lalu kerana isu GISBH.
“Akaun peribadinya juga telah dibekukan,” kata Boestmam.
Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM5,000 dan dua orang penjamin manakala Aishah dikenakan syarat tambahan iaitu perlu melaporkan di balai polis setiap bulan.
Mahkamah juga menetapkan 4 Disember ini bagi sebutan semula bagi kedua-dua kes. – UTUSAN