PASIR SALAK: Penggunaan peralatan pertanian berteknologi tinggi khususnya dron dalam kerja-kerja sawah menarik minat sekumpulan anak muda di Sungai Manik menceburkan diri dalam bidang pertanian.
Mereka yang terdiri daripada generasi muda termasuk yang berusia belasan tahun dan bawah 30-an mengakui tidak mudah melakukan kerja berat di sawah seperti menabur baja dan menyembur racun jika tiada dron.
Ini kerana selain mengusahakan sawah sendiri, golongan muda ini juga mengambil upah melakukan kerja-kerja sawah sebagai mata pencarian.
Pesawah, Mohamad Farid Almar, 28, berkata, sebelum ini dia dan belia kampung mengambil upah melakukan kerja-kerja sawah seperti menabur baja dan menyembur racun menggunakan tulang empat kerat.
Menurutnya, penggunaan tenaga sudah tentu memenatkan selain keluasan kawasan sawah yang dibaja dan disembur racun hanya terhad mengikut kemampuan tenaga.
Namun, menurut Farid, sejak mereka menggunakan dron untuk menabur baja menyembur racun, kerja sawah menjadi lebih mudah.
Katanya, penggunaan dron di sawah bukan sahaja memudahkan tetapi menarik minat mereka yang mengambil upah melakukan kerja-kerja sawah.
“Kalau dulu kami menggunakan tenaga sepenuhnya untuk membaja dan menyembur racun di sawah tetapi kini kami menggunakan dron. Hasil kerjanya lebih baik kerana semburan racun lebih merata, luas dan tidak memenatkan.
“Tidak terlalu sukar untuk mengendalikan dron ini, dalam masa yang singkat rata-rata kami sudah boleh mengendalikan dron untuk kerja membaja dan meracun di sawah.
“Kerja menjadi lebih cepat, lebih luas kawasan yang dapat dibaja dan diracun dan ini menjadikan kerja kami lebih mudah dan kami lebih bersemangat bersawah dan mengambil upah kerja sawah,” katanya.
Menurut Farid, dia mengambil upah meracun RM20 seekar dan dalam masa sehari dia boleh menyiapkan kerja itu untuk kawasan sehingga 20 ekar.
Jelasnya, mereka sudah menggunakan kaedah itu sejak dua tahun lalu dan menjadikan ia sebagai pekerjaan sepenuh masa.
“Dulu kami guna tenaga untuk meracun, terpaksa menggunakan tong racun, amat memenatkan dan mengambil masa yang lama untuk menyiapkan kawasan yang luar, kami juga menggunakan tenaga kerja yang ramai.
“Namun penggunaan dron menjadikan kerja sawah lebih mudah walaupun kosnya agak tinggi kerana harga baterinya yang mahal dan kami menyediakan lima bateri bagi memastikan kerja sawah menggunakan dron lancar,” katanya. – UTUSAN