Dr. Mahathir saman Ahmad Zahid kerana menyentuh isu keturunan

Dr. Mahathir saman Ahmad Zahid kerana menyentuh isu keturunan

DR. MAHATHIR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan, beliau menyaman Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kerana Timbalan Perdana Menteri menghinanya secara peribadi dengan membangkitkan ‘isu kutty’ yang menyentuh keturunannya.

Bekas Perdana Menteri memberitahu Mahkamah Tinggi di sini semalam, beliau mengambil tindakan undang-undang tersebut selepas tiga bulan Presiden UMNO itu menyamannya pada April 2022.

Dr. Mahathir, 99, menjelaskan, saman terhadap Ahmad Zahid dibuat antaranya kerana kenyataan defendan berunsur pembohongan dan menggambarkan seolah-olah beliau (plaintif) bukan Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, masyarakat Melayu tidak meletakkan ‘anak lelaki’ sebaliknya menggunakan perkataan ‘bin’ pada nama.

Tegas Dr. Mahathir, dengan menggunakan perkataan ‘anak lelaki Iskandar Kutty’ seolah-olah membayangkan bahawa beliau bukan Melayu.

“Nama saya Mahathir Mohamad. ‘Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty’ yang didakwa tertera pada kad pengenalan berwarna biru itu tidak benar,’’ ujar beliau ketika disoal balas oleh peguam Mohd. Shahrul Fazli Kamarulzaman yang mewa­kili Ahmad Zahid.

Bekas Perdana Menteri memberi keterangan pada perbicaraan kes saman terhadap Ahmad Zahid kerana didakwa mengeluarkan kenyataan palsu yang mempersoal keturunan dan perjuangan politik beliau ketika Mesyuarat UMNO Bahagian Kelana Jaya, tujuh tahun lalu.

Dalam pernyataan tuntutannya, Dr. Mahathir selaku plaintif mendakwa Presiden UMNO itu antara lain mempertikai asal usulnya yang dikatakan bukan berketurunan Melayu ekoran perkataan ‘kutty’ didakwa tertera pada kad pengenalan berwarna biru yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Pada prosiding itu, Mohd. Shahrul Fazli turut mempertikai mengapa Dr. Mahathir mengambil masa lima tahun untuk me­nyaman Ahmad Zahid walhal tindakan pantas perlu diambil untuk memperbetul dakwaan yang dikeluarkan.

Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri menegaskan beliau mempunyai hak untuk mengemukakan tindakan saman yang didakwa menghinanya kerana masyarakat masih mengingati isu yang dibangkitkan apatah lagi dituturkan oleh seorang Timbalan Perdana Menteri.

“Orang lain boleh memanggil saya apapun, itu tidak mengapa kerana mereka bukan Timbalan Perdana Menteri. Siapa hendak percaya,’’ ujar beliau.

Dr. Mahathir selanjutnya berkata, komen peribadi Ahmad Zahid menjatuhkan namanya sebagai pemimpin politik menyebabkan parti yang dipimpinnya mengalami kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketika ditanya mengapa beliau tidak menyaman Ahmad Zahid sebelum itu, plaintif menyatakan di antara 2018 dan 2022 beliau sibuk melaksanakan tugas sebagai Perdana Menteri.

Prosiding di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong bersambung Rabu.

Dr. Mahathir diwakili Mior Nor Haidir Suhaimi dan Muhammad Rafique Rashid Ali. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya