SHAH ALAM: Seorang doktor di pusat perubatan swasta alami kerugian sebanyak RM3.5 juta selepas terpedaya dengan skim pelaburan saham yang tidak wujud melalui ‘Online Dimensional Investment’.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, lelaki berusia 45 tahun itu dikatakan membuat pelaburan dengan menandatangani kontrak perjanjian atas nama syarikat ‘Dimensional’
“Hasil siasatan awal mendapati, modus operandi yang digunakan oleh suspek untuk memperdayakan mangsa dalam urusan pelaburan itu melalui akaun pelaburan saham ‘QFII’ yang dipanggil sebagai ‘L-Trader Max’.
“Mangsa diminta tandatangan kontrak perjanjian tersebut, dan lebih meyakinkan mangsa bahawa syarikat itu berdaftar dan beroperasi di Singapura. Bagaimanapun, polis mendapati kontrak tersebut adalah palsu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Justeru, polis membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan selepas laporan diterima oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Selangor.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan skim-skim tawaran pelaburan dalam talian dan melalui aplikasi pedagang (Trader) dan sentiasa membuat pengesahan tentang kewujudan pelaburan saham dengan agensi berkenaan.
“Orang ramai juga boleh menghubungi mana-mana balai polis atau National Scam Response Center (NSRC) di talian 997 untuk membuat sebarang pertanyaan,” ujarnya. – UTUSAN