Doktor nasihat Tun M jangan banyak bergerak

Doktor nasihat Tun M jangan banyak bergerak

Dr. Mahathir Mohamad menyampaikan ucaptama secara maya pada Majlis Pelancaran The Greater Kedah di Seri Mentaloon di Alor Setar, hari ini. UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) minggu lepas ekoran masalah kesihatannya tampil secara maya memberi ucaptama pada Majlis Pelancaran The Greater Kedah di Seri Mentaloon, di sini hari ini.

Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu kelihatan sedikit lemah, namun tetap bersemangat menyampaikan ucapannya yang bertajuk Kedah Dalam Konteks Nasional dan Global sempena majlis tersebut.

Menurut Dr. Mahathir yang dijadualkan hadir sebagai tetamu khas, beliau terpaksa membatalkan kehadirannya atas nasihat doktor ekoran masalah kesihatannya itu.

“Saya ingin memohon maaf kerana tidak dapat hadir kerana saya agak kurang sihat dan dinasihatkan oleh doktor untuk tidak terlalu banyak bergerak buat masa ini.

“Namun, walaupun saya tidak dapat hadir hati saya tetap bersama para hadirin. Kedah sudah pasti amat dekat di hati saya, tempat jatuh lagi dikenang inikan pula tempat bermain,” katanya ketika sesi ucaptama majlis tersebut yang dilancarkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Dr. Mahathir dimasukkan ke IJN minggu lepas akibat mengalami jangkitan saluran pernafasan setelah mengalami batuk.

Terdahulu, akhbar melaporkan kes saman beliau terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berhubung kenyataan berbaur fitnah yang sepatutnya bersambung pada 16 Oktober lepas terpaksa ditangguhkan akibat masalah kesihatan pemimpin berusia 99 tahun itu.

Dalam pada itu ketika berucap lebih 10 minit pada majlis tersebut, Dr. Mahathir menyentuh berkaitan rizab nadir bumi yang banyak di Kedah dan menanti untuk diterokai serta perlu diuruskan dengan cara terbaik untuk meraih pendapatan berlipat ganda.

“Yang penting sekarang ialah untuk pemimpin Kedah memastikan bahawa ia bukan setakat menjadi pengeluar bahan mentah REE tetapi menyertai industri hiliran supaya hasil yang diperoleh berlipat ganda.

“Kesemua ini mempunyai keupayaan untuk menjadi pesaing bukan sahaja di rantau ini, malahan di peringkat global,” katanya.

Beliau menambah, pelancaran The Greater Kedah itu merupakan kesinambungan kepada perancangan memajukan State Government Four ataupun SG4 yang dilancarkan pada awal September lalu yang memerlukan sokongan semua pihak termasuk kerajaan.

“Dalam lain perkataan, Greater Kedah tidak bergerak secara sendirian tetapi berkait rapat dengan usaha memajukan SG4 yang mana Kedah adalah salah satu daripada empat negeri tersebut.

“Bezanya ialah SG4 bertindak dari atas ke bawah manakala Greater Kedah bersifat dari bawah ke atas. Ia tidak bercanggah malahan bersifat complementary atau saling melengkapi,” katanya.

Dr. Mahathir pada masa sama mengingatkan pemimpin negeri ini supaya menghayati tuntutan sebagai pemimpin Islam dan memacu Kedah mengikut acuannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya