SHAH ALAM: Jabatan Perikanan (DOF) Selangor kesal dengan tindakan pihak tertentu yang melepaskan ikan asing jenis patin Siam di Tasik Bandaraya Seksyen 14 di sini, baru-baru ini.
Pengarahnya, Noraisyah Abu Bakar berkata, tindakan itu bukan saja mengancam ekosistem tasik malah menimbulkan risiko kepada spesies tempatan dan keseimbangan biodiversiti.
“Pelepasan ikan asing tanpa kawalan boleh mengakibatkan persaingan sumber makanan dan habitat dengan spesies tempatan. Selain itu, ia membawa penyakit baharu yang boleh menjejaskan populasi ikan asal,” katanya hari ini.
Terdahulu, tular pelepasan spesies ikan patin itu atau nama saintifiknya Pangasianodon hypophthalmus bagi satu pertandingan memancing pada hujung bulan.
Tambah Noraisyah, orang ramai digesa tidak sewenang-wenangnya melepaskan ikan asing atau haiwan lain ke dalam tasik atau sumber air awam.
Tegas beliau, pihak berkuasa akan meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang bagi mencegah tindakan seumpama itu daripada berulang.
“Mana-mana pihak yang mahu membuat pelepasan umum dinasihatkan merujuk kepada Jabatan Perikanan bagi memastikan ikan itu adalah spesies ikan asli tempatan.
“Kerjasama itu amat diperlukan bagi memastikan kelestarian ekosistem tasik dan perlindungan spesies tempatan,” katanya.
Utusan Malaysia pada Sabtu lalu melaporkan individu atau pihak yang membuang ikan asing atau spesis ‘alien’ ke dalam sungai di Selangor bakal berdepan tindakan undang-undang mulai tahun depan.
Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri, Izham Hashim mengesahkan pihaknya sedang menyiapkan Enakmen Kawalan Ternakan Ikan Darat berhubung isu tersebut yang memfokuskan kewajiban untuk memohon permit bagi ternakan ikan asing.
Selain itu, ia melibatkan kesalahan melepaskan ikan tersebut ke sungai antaranya spesis baung merah, bandaraya dan ‘aligator – UTUSAN