Dobi, bangunan kerja kawasan baharu larangan merokok

Dobi, bangunan kerja kawasan baharu larangan merokok

DZULKEFLY Ahmad (tiga dari kanan) menunjukkan tanda amaran baharu larangan merokok ketika sesi taklimat media mengenai Akta 852 di Kementerian Kesihatan, Putrajaya, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Premis dobi dan bangunan tempat kerja adalah dua kawasan baharu digazetkan sebagai tempat larangan me­rokok yang dikuatkuasakan selepas 1 Januari ini.

Ia antara 28 kawasan disenaraikan dalam tempat larangan merokok berbanding 23 kawasan sebelum ini selepas Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 [Akta 852] dikuatkuasakan bermula 1 Oktober lalu.

Penguatkuasaan kawasan baharu itu dibuat secara berfasa dan memberi tempoh tiga bulan kepada premis berkenaan sebelum penguatkuasaan dilaksanakan, manakala tempat larangan merokok yang digazetkan sebelum ini dikuatkuasakan berterusan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad bersyukur pewartaan premis dobi sebagai kawasan larangan merokok di bawah Akta 852 selepas perkara itu sudah lama diperjuangkannya ketika memegang jawatan Menteri Kesihatan pada 2019.

“Pastinya saya bersyukur akhirnya dobi menjadi tempat kawasan larangan merokok. Ini kerana kawasan itu didatangi ibu-ibu dan isteri yang membawa anak-anak kecil memandangkan ia tempat awam,” katanya dakam sidang akhbar selepas sesi taklimat media Akta 852 di sini, semalam.

Mereka yang didapati bersalah merokok atau menggunakan produk merokok di kawasan larangan itu dikenakan denda maksimum sebanyak RM5,000.

Bermula Selasa lalu, Akta 852 yang diwartakan pada 2 Februari lepas berkuat kuasa serta-merta dan berfasa, serentak dengan peraturan-peraturan serta pe­rintah di bawahnya.

Akta 852 bertujuan mengekang penggunaan produk tembakau serta mengurangkan kemudaratan akibat merokok dan penggunaan lain-lain produk tembakau termasuk rokok elektronik atau vape terutama dalam kalangan golongan muda.

Sementara itu, Timbalan Ke­tua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr. Norhayati Rusli berkata, sejak bermula penguatkuasaan Akta 852, empat hari lalu,

sejumlah 2,930 premis dilawati melibatkan 108 operasi dilaksanakan dengan kekuatan 1,614 anggota penguat kuasa.Sepanjang operasi itu, katanya, sejumlah 2,548 advokasi pendidikan diedarkan termasuk mengeluarkan tiga kompaun melibatkan kesalahan merokok di kawasan larangan merokok.

Jelasnya, pelaksanaan Akta 852 melibatkan dua peringkat penguatkuasaan iaitu secara serta-merta dan berfasa iaitu antara enam bulan, setahun dan dua tahun.

Katanya, penguatkuasaan serta-merta itu melibatkan larangan pengiklanan, promosi dan tajaan selain tempat lara­ngan penjualan produk me­rokok seperti institusi pendidikan, pasar jualan dalam talian dan mesin layan diri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya