Dobi, bangunan kerja kawasan baharu larangan merokok

Dobi, bangunan kerja kawasan baharu larangan merokok

DZULKEFLY Ahmad menunjukkan tanda amaran baharu larangan merokok ketika sesi taklimat media mengenai Akta 852 di Kementerian Kesihatan, Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Premis dobi dan bangunan tempat kerja adalah dua kawasan baharu yang digazetkan sebagai kawasan tempat larangan merokok yang akan mula dikuatkuasakan selepas 1 Januari depan.

Ia antara 28 kawasan yang disenaraikan dalam tempat larangan merokok berbanding 23 kawasan sebelum ini selepas Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 [Akta 852] dikuatkuasakan bermula 1 Oktober lalu.

Penguatkuasaan kawasan baharu itu dibuat secara berfasa dan memberi tempoh tiga bulan kepada premis berkenaan sebelum penguatkuasaan dilaksanakan, manakala tempat larangan merokok yang telah digazetkan sebelum ini dikuatkuasakan berterusan.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, beliau bersyukur pewartaan premis dobi sebagai kawasan larangan merokok di bawah Akta 852 selepas perkara itu sudah lama diperjuangkannya ketika beliau menjawat Menteri Kesihatan pada 2019.

“Pastinya saya bersyukur akhirnya dobi menjadi tempat kawasan larangan merokok. Ini kerana kawasan itu didatangi ibu-ibu, isteri yang membawa anak-anak kecil memandangkan ia tempat awam,” katanya menerusi sidang akhbar selepas sesi taklimat media Akta 852 di sini hari ini.

Mana-mana yang didapati bersalah merokok atau menggunakan produk merokok di kawasan larangan itu akan dikenakan denda maksimum sebanyak RM5,000.

Bermula Selasa lalu, Akta 852 yang diwartakan pada 2 Februari lalu berkuatkuasa serta-merta dan berfasa, kuasa serentak dengan peraturan-peraturan serta perintah di bawahnya.

Akta 852 bertujuan untuk penggunaan produk tembakau serta mengurangkan kemudaratan akibat merokok dan penggunaan lain-lain produk tembakau termasuk rokok elektronik atau vape terutamanya dalam kalangan golongan muda.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr Norhayati Rusli berkata,  sejak bermula penguatkuasaan Akta 852 tiga hari lalu,  sejumlah 2,930 premis dilawati melibatkan 108 operasi dilaksanakan dengan kekuatan 1.614 anggota penguat kuasa.

Sepanjang operasi itu, katanya, sejumlah 2,548 advokasi pendidikan diedarkan termasuk mengeluarkan tiga kompaun melibatkan kesalahan merokok di kawasan larangan merokok.

Jelasnya, pelaksanaan Akta 852 melibatkan dua peringkat penguatkuasaan iaitu secara serta-merta dan berfasa iaitu antara enam bulan, setahun dan dua tahun.

Katanya, penguatkuasaan serta-merta itu melibatkan larangan pengiklanan, promosi dan tajaan; selain tempat larangan penjualan produk merokok seperti institusi pendidikan, pasar jualan dalam talian dan mesin layan diri.

Larangan serta -merta juga membabitkan larangan pembungkusan pod pakai buang berbentuk mainan.

Bagi penguatkuasaan secara berfasa dalam tempoh enam bulan pula ialah penggunaan tanda amaran baharu larangan merokok di kesemua premis yang digazetkan serta tatacara pameran penjualan produk merokok di kedai serbaneka atau kedai khas.

Pembungkusan dan pertukaran label gambar amaran sekarang kepada baharu dan beberapa produk merokok memerlukan cara pembungkusan berbeza dan penguatkuasaan ini diberikan tempoh sehingga satu tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya