SHAH ALAM: Penyanyi, Naqiu, mengumumkan Joey Daud sebagai rakan duetnya sepanjang program Famili Duo yang berlangsung bermula semalam.
Berita yang dikongsikan Naqiu tersebut telah mematahkan ramalan peminat yang rata-ratanya meneka penyanyi itu bakal bergandingan dengan pelakon muda, Hun Haqeem.
“Maafkan saya kepada orang ramai yang meneka pasangan duo saya ialah Hun Haqeem.
“Ini bukan salah saya tetapi semuanya rancangan pihak produksilah yang mengelirukan netizen.
“Saya tahu mengenai ramai meneka Hun Haqeem sebab ‘team’ saya ada maklumkan.
“Maksudnya, misi kami untuk menyembunyikan Joey berjaya walaupun ada yang sudah tekan dengan betul, tapi masih ramai tidak tahu,” katanya.
Naqiu ditemui Utusan Malaysia di sidang media konsert minggu pertama Famili Duo musim keempat di sini, semalam.
Vokalis Boboy itu juga mengakui sengsara menyimpan rahsia sepanjang dua minggu atas permintaan pihak produksi.
“Dua minggu juga sengsara simpan rahsia, bila Joey buka topeng terus saya rasa lega.
“Pihak produksi pula sudah beri amaran jangan terlepas cakap.
“Saya pujuk Joey empat kali. Selepas pujukan demi pujukan, akhirnya dia tunjuk minat tentang pertandingan pada pertemuan kali keempat. Tak senang dapatkan dia” ujarnya.
Terdahulu, identiti Joey sebagai pasangan duo Naqiu dirahsiakan oleh pihak produksi. Peminat mula meneka pelbagai nama antaranya pelakon Hun Haqeem.
Selain Joey dan Naqiu, Famili Duo musim keempat turut disertai Tomok dan Sharul Kamal, Ayie Elham dan Salman Asis, Shiha Zikir dan Ieda Zikir, Zahid dan Anne serta Didi Astillah dan Thamiera. -UTUSAN