Dipenjara 33 tahun, rempuh khemah kahwin dan gilis kanak-kanak dengan kereta - Utusan Malaysia

Dipenjara 33 tahun, rempuh khemah kahwin dan gilis kanak-kanak dengan kereta

gombak setia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seorang banduan akhir terlepas hukuman mati setelah Mahkamah Persekutuan hari ini menggantikannya dengan hukuman penjara 33 tahun kerana membunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun dengan menggilisnya menggunakan kereta selepas merempuh sebuah khemah majlis perkahwinan, 11 tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan demikian terhadap C.S. Senguttuwan, 38, selepas membenarkan permohonan semakan untuk mengetepikan hukuman mati yang diputuskan terhadapnya.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais turut memerintahkan banduan akhir itu (pemohon) menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 3 Jun 2013 dan dikenakan 12 sebatan.

Senguttuwan disabitkan atas pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun, T. Thamilrasan kira-kira pukul 11 malam, 25 Mei 2013 di Jalan Utama Kampung Tersusun, Kopisan Baru, Gopeng, Perak.

Lelaki itu turut disabitkan di bawah Seksyen 307 atas dua pertuduhan melanggar seorang wanita, S. Punjala, 57, dan kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun, S. Tarmenthiran menggunakan kereta Proton Persona pada waktu dan di tempat yang sama sehingga menyebabkan mereka mengalami kecederaan.

Mahkamah Tinggi Ipoh menjatuhkan hukuman mati bagi kesalahan membunuh dan penjara 10 tahun bagi kesalahan melanggar kedua-dua mangsa. Hukuman berkuat kuasa serentak.

Bagaimanapun, permohonan semakan hari ini hanya melibatkan hukuman mati bagi kesalahan membunuh di bawah Seksyen 302 dan tidak melibatkan kesalahan di bawah Seksyen 307.

Keterangan kes menyatakan, pada hari kejadian, sepasukan polis diketuai Inspektor S. Dasarathan yang membuat rondaan di sekitar kawasan Kopisan Baru, Gopeng, telah terserempak dengan kereta Proton Persona yang dipandu Senguttuwan berhenti di kawasan itu.

Senguttuwan yang ketika itu merupakan orang yang dikehendaki polis, memecut kereta yang dipandunya selepas menyedari diekori Dasarathan dan memasuki Jalan Utama, Kampung Tersusun namun pergerakannya dihalang oleh khemah satu majlis perkahwinan.

Pemohon kemudian memberhentikan kenderaan dan memadamkan lampu kereta sebelum menghidupkan semula enjin dan lampu lalu memandu kereta dengan laju ke arah khemah dan merempuhnya sebanyak dua kali.

Keterangan kes menyatakan, rempuhan pertama melanggar Punjala dan Thamilrasan menyebabkan keretanya tersekat pada kerusi dan meja sebelum pemohon mengundurkan kenderaan.

“Proses pengunduran itu menyebabkan Thamilrasan tersepit di bawah kereta. Rempuhan kedua menyebabkan kaki Punjala digilis manakala Tarmenthiran dilanggar sehingga tercampak.

“Kepala Tamilrasan turut digilis sebelum dia memecut laju dan meninggalkan tempat kejadian,” demikian menurut alasan penghakiman Mahkamah Rayuan.

Dalam pembelaannya, Senguttuwan memberi alasan tindakannya merempuh khemah itu bertujuan melarikan diri kerana ketakutan ekoran pernah dipukul polis.

Hakim bicara pula menolak pembelaan tertuduh bahawa dia tidak nampak ada orang dalam khemah tersebut. Ini kerana khemah yang ketika itu menempatkan lebih daripada 50 tetamu berada dalam keadaan terang.

Hakim berkenaan berpendapat, tindakan merempuh khemah itu dilakukan atas niat jahat yang telah dicongak dan disengajakan, bukan kerana cuai atau panik.

Terdahulu, peguam Abdul Rashid Ismail memohon permohonan itu dibenarkan dan digantikan dengan hukuman penjara minimum 30 tahun.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz membantah permohonan semakan atas alasan pemohon melakukan dua rempuhan sehingga menyebabkan mangsa menemui ajal yang mewajarkan hukuman mati dikekalkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya