SHAH ALAM: Pelakon, Hisyam Hamid, reda digelar duda ‘hot’ selepas mengumumkan bercerai dengan isteri, Rosmawati Hanafi, Mei lalu.
Enggan terlalu ambil pusing, Hisyam atau Hazmi Hisyam Abdul Hamid, 39 menganggap gelaran diberikan warganet itu sebagai pujian yang memberikan imej baik.
“Saya ambil sebagai pujian. Mungkin benda tersebut secara tak langsung ada impak positif.
“Saya okey sahaja, pada akhirnya saya adalah seorang figura, perkara begini pasti akan terjadi.
“Baik berkahwin atau bujang pasti ada gosip tersendiri dan saya boleh jangka perkara begini akan jadi. Apa yang paling penting, saya tahu jaga diri dan kerja saya.
“Alhamdulillah, sekarang saya gembira dengan progress diri. Ini proses saya untuk bangun selepas jatuh,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Mengulas mengenai kehidupan seharian selepas kembali bujang, pelakon Kerana Aku Isteri Bidaan itu mahu memberi fokus menjaga ibu dan dua orang anaknya.
“Buat masa ini, saya selesa dengan hidup macam ini (duda). Berkawan macam biasa dengan semua orang.
“Saya hanya mahu berikan tumpuan kepada anak-anak dan ibu saya,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Hisyam menjadi perhatian ramai selepas mengesahkan dirinya sudah bercerai dengan Rosmawati Hanafi namun menegaskan masih mempunyai hubungan baik dengan bekas isteri.
Sepanjang 18 tahun berkahwin, Hisyam dan Rosmawati dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Nurish Syameliah, 17, dan Haydeen, 15. -UTUSAN