Didenda RM40,000 seleweng 3,844 liter diesel tanpa lesen - Utusan Malaysia

Didenda RM40,000 seleweng 3,844 liter diesel tanpa lesen

J. Nandekumar diiringi pegawai KPDN selepas mengaku bersalah memiliki diesel tanpa lesen di Mahkamah Sesyen Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang lelaki didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini setelah mengaku bersalah memiliki 3,844 liter minyak diesel tanpa lesen bernilai RM8,264, tahun lalu.

Hakim N. Priscilla Hemamalini menjatuhkan hukuman itu terhadap J. Nandekumar, 26, yang merupakan pekerja di sebuah kedai mencuci kereta.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang masih bujang didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 1.30 pagi, 19 Mei 2023 di Kilometer 10, Lebuhraya Utara Selatan(PLUS) arah utara di Changlun.

Kesemua diesel tersebut ditemukan dalam tangki yang telah diubah suai di belakang lori dipandunya hingga menimbulkan syak munasabah satu kesalahan akan dilakukan iaitu berurusan secara runcit atau borong barang kawalan tanpa lesen.

Kesalahan dilakukan Nandekumar itu telah melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama.

Pertuduhan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Mohamad Hezrin Abdul Wahab manakala tertuduh diwakii peguam, R. Thevan.

Nandekumar turut diperintahkan menjalani hukuman penjara selama 16 bulan sekiranya gagal menjelaskan denda itu, selain kesemua minyak diesel serta lori yang digunakan dilucut hak. Dia kemudian membayar denda itu. 

Terdahulu, Thevan memohon agar Nandekumar dikenakan hukuman denda paling ringan kerana hanya berpendapatan RM40 sehari dan tindakannya mengaku salah telah menjimatkan masa mahkamah serta pihak terlibat dalam kes itu.

Pihak pendakwaan bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal memandangkan tindakan penyelewengan diesel merupakan kesalahan serius selain tertuduh turut memiliki rekod lampau berhubung kesalahan sama.

Mohamad Hezrin memberitahu mahkamah bahawa tertuduh pernah disabitkan kesalahan di bawah seksyen sama dan didenda RM30,000 pada 28 Mei lalu.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya