Diana Danielle fail notis enggan sebumbung dengan Farid Kamil

Diana Danielle fail notis enggan sebumbung dengan Farid Kamil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Nekad untuk berpisah, pelakon Diana Danielle memaklumkan dia sudah memberikan notis kepada suaminya, Farid Kamil untuk pindah keluar daripada kediaman mereka demi melalui proses perceraian.

Diana yang berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran di Instagram Story turut menafikan bahawa mereka ada berhubung menerusi panggilan telefon seperti yang dinyatakan oleh aktor tersebut tempoh hari lalu.

“Kami tidak bercakap melalui telefon semalam (kelmarin). Dan saya sudah beri notis dalam Whatsapp untuk dia pindah rumah secepat mungkin kerana akan lalui proses perceraian.

“Saya tak akan benarkan hal yang tak pernah berlaku dikatakan berlaku, dan saya juga tidak mahu sebumbung lagi seperti yang sudah dimaklumkan sendiri kepadanya. Sila hormati,” katanya.

Diana berkata demikian untuk membidas segala kenyataan Farid ketika ditemui di lokasi penggambaran drama filem Bisikan Dosa, semalam.

Farid ketika ditemui Utusan Malaysia memberitahu dia mengambil maklum dengan hasrat aktres filem Imaginur itu yang nekad untuk bercerai selepas setahun rujuk.

Bagaimanapun, dia enggan melepaskan pelakon itu sebagai isterinya selepas menyifatkan pergolakan yang berlaku berpunca daripada perselisihan faham kecil.

Dalam masa sama, Farid yang teguh mahu mempertahankan rumah tangganya bersama Diana turut memaklumkan bahawa mereka masih lagi tinggal sebumbung selain meluahkan rasa sayang terhadap keluarganya.

Sementara itu, Diana yang membuat kenyataan mengejut tersebut pada Isnin lalu enggan memberikan sebarang penjelasan dan meminta ruang.

Diana juga dikhabarkan telah mengarahkan peguam yang mewakilinya, Datuk Akberdin Abdul Kadir untuk meneruskan proses memfailkan perceraian terhadap Farid dalam tempoh terdekat.

Untuk rekod, Diana dan Farid pernah bercerai dengan talak satu pada 10 Ogos tahun lalu namun kembali rujuk selepas sebulan berpisah.

Pasangan itu telah berkahwin pada 3 November 2012 dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Muhammad, 11, dan Nur Aurora, 9 tahun. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN