Dewan Rakyat lulus RUU untuk tangani ancaman penyakit berjangkit

Dewan Rakyat lulus RUU untuk tangani ancaman penyakit berjangkit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2024 bagi meningkatkan kesiapsiagaan negara dalam menangani ancaman penyakit berjangkit.

RUU berkenaan diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas bacaan kali ketiga oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni dan dibahaskan 24 ahli Parlimen dari blok kerajaan serta pembangkang.

Lukanisman ketika sesi penggulungan berkata, RUU tersebut mempunyai tujuan yang jelas iaitu memperkukuh kesiapsiagaan dan respon negara dalam menghadapi ancaman penyakit berjangkit dengan lebih berkesan demi kesejahteraan rakyat.

Katanya, pindaan tersebut terbahagi kepada beberapa fokus utama iaitu penyelarasan terminologi, kuasa penguatkuasaan, kuasa ketua pengarah tidak mengatasi kuasa menteri dan penggunaan teknologi untuk pemantauan pengasingan.

Selain itu, katanya, ia melibatkan pemberitahuan kes penyakit berjangkit dan kesiapsiagaan pencegahan dan penularan wabak, kadar kompaun sebagai deterrent (langkah pencegahan) serta merekuisisi premis dan sumbernya.

“Pengalaman kita ketika pandemik Covid-19 menunjukkan betapa pentingnya pelaporan dan tindakan pantas untuk mencegah penularan Penyakit.

“Pindaan yang dicadangkan adalah untuk memperkukuh lagi kesiapsiagaan terhadap penyakit-penyakit baharu dan yang berulang muncul semula seperti yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Kuching,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini. 

Mengulas mengenai kadar kompaun, Ahli Parlimen Sibuti itu berkata, bayaran RM5,000 bakal dikenakan kepada pesalah selepas mengambil kira tahap keseriusan kesalahan dilakukan.

“Saya ingin menegaskan bahawa tujuan utama peningkatan kadar kompaun ini adalah untuk memastikan kepatuhan yang lebih baik terhadap peraturan yang telah ditetapkan terutama langkah-langkah pencegahan penyakit berjangkit dan memperkukuh kawalan kesihatan awam, demi keselamatan dan kesihatan awam, bukan untuk menghukum.

“Malaysia masih mengambil pendekatan yang munasabah dan seimbang dalam menetapkan nilai penalti. Di Singapura, denda di bawah Infectious Diseases Act boleh mencecah sehingga SGD 10,000 atau lebih kurang RM34,000 bagi kesalahan pertama dan SGD 20,000 (RM 68,000) bagi kesalahan berulang,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) komited untuk terus memperkukuh kerjasama dengan semua agensi dan pihak berkepentingan bagi memastikan akta tersebut dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

“Oleh itu, kesiapsiagaan dan respon di dalam menangani ancaman penyakit berjangkit yang baharu muncul dan muncul semula termasuk pandemik melalui pengesanan awal dan langkah-langkah pencegahan dan kawalan yang efisien, efektif serta menyeluruh,” katanya.– UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya