KUALA LUMPUR: Anak yang dilahirkan di luar negara hasil perkahwinan wanita rakyat tempatan dengan lelaki warga asing mendapat kewarganegaraan secara kuat kuasa undang-undang atau automatik.
Ia diputuskan apabila Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2024 berkaitan kewarganegaraan semalam selepas mendapat sokongan majoriti dua pertiga ahli Parlimen setelah dua hari dibahaskan oleh 70 ahli Parlimen.
Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang mengumumkan keputusan itu memaklumkan, seramai 206 ahli Parlimen mengundi RUU tersebut selepas bacaan kedua dan ketiga, seorang ahli Parlimen mengundi tidak bersetuju, 14 tidak hadir dan seorang tidak hadir kerana digantung.
Pindaan tersebut antara lain membolehkan hak kewarganegaraan anak yang dilahirkan di luar negara hasil perkahwinan wanita rakyat tempatan dengan lelaki warga asing mendapat kewarganegaraan secara kuat kuasa undang-undang atau automatik.
Sebelum pindaan dilakukan, anak yang lahir di luar negara akan mendapat kewarganegaraan secara pendaftaran iaitu dilakukan melalui permohonan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, RUU pindaan itu akan menjadi satu undang-undang yang lebih inklusif, lebih adil dan melindungi hak warganegara Malaysia di mana saja mereka berada.
“Ini adalah sebahagian inisiatif kita untuk melakukan perkara yang betul terutama pindaan berkaitan 14 Perkara 14 (1) (b) iaitu warganegara secara kuat kuasa undang-undang ke atas anak yang lahir di luar negara.
“Biarlah kita beri khabar (yang) gembira kepada golongan wanita (atau) golonga ibu di luar sana bahawa kita sama-sama menjadi saksi prihatin terhadap perkara yang telah sekian lama mereka perjuangkan,” katanya semasa mengakhiri ucapan penggulungannya di Dewan Rakyat, semalam.
Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata, kementeriannya akan menyelesaikan semua permohonan tersebut dalam jangka masa 12 bulan atau satu tahun.
Katanya, perkara tersebut bagi memastikan tidak ada lagi kes pemohon tertunggak daripada dibiarkan tertangguh selama bertahun-tahun.
Jelasnya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah membangunkan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih jelas dan teratur dalam menguruskan permohonan kewarganegaraan termasuk pemohon dapat mengetahui status semasa permohonan mereka.
“Komitmen baharu terhadap baki kes (permohonan warganegara), dibuat keputusan hari ini (semalam) iaitu 17 Oktober, dari sekarang hingga tahun depan, kita akan selesaikan semua permohonan ini sebagai menunjukkan komitmen kita.
“Semua permohonan tertunggak, yang belum dibuat keputusan, 17 Oktober tahun depan semua akan dibuat keputusan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, KDN suda memproses lebih 19,300 permohonan pada tahun ini dan ia melepasi sasaran awal iaitu 17,000.
“Sehingga semalam, saya telah meluluskan 19,317 permohonan, dan jika kita masukkan jumlah tahun lepas jumlahnya 32,153 keputusan (permohonan kewarganegaraan) dibuat, katanya. – UTUSAN