Dewan Rakyat kecoh dengan pertikaman lidah isu MAHB

Dewan Rakyat kecoh dengan pertikaman lidah isu MAHB

HOWARD LEE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Isu berkaitan penjualan saham Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) mencetuskan perdebatan hangat antara pemimpin pembangkang dan kerajaan di Dewan Rakyat, hari ini.

Howard Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) mempersoal kenyataan Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin (PN-Putrajaya) yang membangkitkan isu penjualan saham MAHB ketika membahaskan Belanjawan 2025.

Beliau berkata, kenyataan Mohd. Radzi mengelirukan Dewan Rakyat di bawah Aturan 36(12) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Dikatakan MAHB dijual, seolah-olah MAHB telah diberi, diambil oleh syarikat atau kuasa luar. Itu mengelirukan dewan. Sekarang yang memegang majoriti saham 70 peratus itu siapa? Syarikat atau orang luar? Adakah dia Malaysia ataupun tidak?

“Jawab ya atau tidak? Kalau Malaysia, sila tarik balik,” katanya.

Pertikaman lidah antara Howard Lee dan Mohd. Radzi itu kemudian disertai oleh beberapa pemimpin pembangkang lain.

Terdahulu, Mohd. Radzi mempertikai penjualan saham MAHB sebanyak 30 peratus kepada syarikat asing.

“Kami di sebelah pembangkang sudah usaha sehabis-habisnya (untuk) cuba jelaskan kepada kerajaan (dan) rakyat bahawa kerajaan tidak perlu menjual satu blok besar saham (iaitu) 30 peratus MAHB kepada syarikat asing.

“Kita boleh terus menjaga MAHB ini oleh kemampuan daripada syarikat-syarikat dalam negara kita. Atas dasar kewangan, ekonomi, strategik dan moral, tidak ada sebab nak menjual MAHB,” katanya.

Susulan itu, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Alice Lau cuba menenangkan keadaan dengan meminta semua duduk dan berhenti bertikam lidah.

“Yang lain boleh duduk, kalau tidak mahu duduk, boleh keluar (dari dewan),” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya