Dentuman kuat, gegaran dirasai di sekitar Ipoh - Utusan Malaysia

Dentuman kuat, gegaran dirasai di sekitar Ipoh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Penduduk beberapa kawasan sekitar Ipoh gempar dengan bunyi dentuman kuat disusuli gegaran pada kira-kira pukul 11.06 pagi tadi.

Pengguna media sosial mendakwa gegaran dirasai di kawasan Medan Istana, Tasek, Stadium Perak, Meru, Falim dan Manjoi malah ada yang mendakwa gegaran turut dirasai oleh pengguna Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) di Terowong Menora.

Setakat ini tidak diketahui punca bunyi dentuman kuat dan gegaran tersebut.

Orang ramai yang ditemui mengakui terdengar bunyi dentuman kuat disusuli gegaran dalam tempoh hanya beberapa saat yang mengejutkan mereka.

Seorang wanita pekerja swasta, M. Diviya, 30, berkata, dia dan rakan sekerjanya berlari keluar dari bangunan pejabat mereka di Medan Istana, di sini sebaik sahaja merasai gegaran kuat.

Katanya, ketika kejadian dia sedang bekerja di bilik dan tiba-tiba terasa bangunan seperti bergegar dan pintu kaca pejabatnya turut bergegar dengan kuat.

“Saya terdengar bunyi seakan dentuman dari bahagian atas bangunan, kami terus berlari keluar dari pejabat kerana risaukan keselamatan diri.

“Saya sudah hubungi Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) untuk memaklumkan kejadian ini dan mereka mengesahkan ada menerima aduan mengenai gegaran tersebut,” katanya.

Noor Zaiti Nabilah Ahmad, 32, berkata, dia turut berlari keluar dari bangunan pejabat guaman tempat dia bekerja di Medan Istana, di sini sebaik sahaja merasai gegaran kuat.

“Sepanjang enam tahun bekerja di sini, ini kali pertama saya rasai pengalaman begini. Kami rasa amat terkejut,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN